Sekumpulan warga Malaysia yang kembali ke negara ini dengan selamat mengimbau kembali insiden terkandas di atas bumbung di sebuah hotel di Srinagar, ibu kota negeri Jammu dan Kashmir dalam keadaan sejuk selama beberapa jam pada 7 September lalu untuk menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus deras.
Farisha Elaina berkata hotel tempat mereka tinggal yang berhadapan Empangan Dall, dinaiki air apabila empangan tersebut pecah selepas hujan turun berterusan.
"Kami mengharungi arus deras dan melarikan diri ke atas bumbung untuk menyelamatkan diri.
"Dalam masa yang singkat, air banjir yang mulanya pada paras dada naik sehingga ke bumbung.
"Kami terpaksa memikirkan cara untuk menarik perhatian (pasukan penyelamat) termasuk menggunakan sos cili untuk menulis perkataan 'Malaysia' di atas tuala.
"Kami juga mengantung baju kemeja bercorak bendera Malaysia," katanya ketika ditemui sebaik tiba di KLIA.
Menurut Farisha, mereka kemudiannya diselamatkan menggunakan bot.
Ibu Farisha, Datin Norzam Aini Hamzah, 59, berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menjalankan tugas dengan baik dalam membantu dan menyelamatkan mereka yang terkandas dalam banjir buruk itu.
No comments:
Post a Comment