MSTAR ONLINE
Pengerusi Tetap Muktamar Pemuda PAS Kamal Ashaari berkata beliau sendiri
akan membawa laporan daripada perwakilan Pemuda Puchong yang mendakwa
terdapat perwakilan lima kawasan dari Johor yang tidak dipilih dalam
mesyuarat tahunan mereka tetapi hadir pada Muktamar Pemuda PAS tahun
lalu.
Perwakilan lima kawasan itu turut didakwa terlibat dalam pemilihan dalam
persidangan tahun lalu selepas dibangkitkan segelintir perwakilan kali
ini yang bimbang PAS bakal diharamkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan
(ROS) jika laporan tahunan tahun ini disahkan.
"Saya menerima laporan ini. Muktamar tidak ada autoriti
(menubuhkan) satu jawatankuasa untuk menyiasatkan (laporan ini) yang dikemukakan malam ini.
"Muktamar (Pemuda) tidak ada jawatankuasa untuk menyiasat laporan ini,
jadi saya memohon untuk membawa laporan ini diputuskan pihak beraurotiti
atau Majlis Syura Ulama.
"Saya minta mandat dibawa di peringkat atas yang ada jawatankuasa untuk
menyiasat perkara ini," kata Kamal sambil majoriti perwakilan
kemudiannya bangun memberi mandat kepadanya untuk membawa laporan itu
diputuskan oleh pihak atasan.
Kamal juga menangguhkan perbahasan mengenai laporan tahunan selama 10
minit bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak atasan parti.
Selepas itu, majoriti perwakilan mengesahkan laporan tahunan Muktamar
Pemuda PAS tahun ini melalui undian, tetapi status pengesahan kehadiran
perwakilan dari lima kawasan itu - yang ada dalam laporan tahunan kali
ini - diserahkan kepada pihak atasan untuk menyiasat dan memutuskan.
Kemudian, terdapat seorang perwakilan bangun membangkitkan rasa
tidak berpuas hati - selepas ia disahkan dan memberi mandat - cuba
menjelaskan situasi yang berlaku di beberapa kawasan di Terengganu pada
2009.
Berlinangan air mata
Bagaimanapun, suasana bising tercetus apabila ramai perwakilan lain
menjerit dan melaungkan supaya perwakilan itu menghentikan tindakannya
dan kemudiannya melaungkan takbir, "Hidup Islam dan Hancur Taghut".
Susulan itu juga seorang perwakilan lain cuba menenangkan keadaan dengan
meminta perwakilan menghormati keputusan yang dibuat oleh pengerusi
tetap sebelum itu.
"Dua kali pengerusi beri peluang (kepada kita untuk selesai masalah
ini). Saya minta hormat kepada pengerusi tetap," katanya dan suasana
dewan ketika itu menjadi gamat dan riuh rendah.
Hal demikian kemudiannya, menyebabkan Kamal Ashaari mencelah
dengan meluahkan rasa kesalnya nada yang sebak dengan air mata berlinangan.
"(Jika tidak sah) muktamar (dan pemilihan) tahun lalu, muktamar khas
boleh diadakan untuk mengadakan pemilihan semula. Kita nak tolak, kita
tidak ada autoriti untuk buat keputusan.
"Saya faham, kamu sayang kepada parti. Saya tidak mahu PAS diharamkan...
Tolong beri mandat. Saya janji saya serah sendiri," katanya dalam nada
sebak dan tersekat-sekat.
Selepas itu, beberapa minit selepas insiden itu selesai, Timbalan
Pengerusi Tetap Riduan Mohd Nor memberitahu perwakilan bahawa Kamal
dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas.
No comments:
Post a Comment