Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Jangan sampai menggadaikan pengalaman dan ilmu undang-undang
semata-mata demi mahu meraikan hajat serta impian pihak yang gilakan
kuasa, khususnya berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor,
demikian tegas Timbalan Presiden JATI, Datuk Aidit Ghazali.
Aidit dalam pada itu juga membidas tindakan sesetengah ahli akademik
yang mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk kepada fakta dan situasi yang
berlaku di Selangor, yang menafikan hak mutlak Sultan Selangor berhubung
pelantikan Menteri Besar.
"Kalau ada orang yang ada ilmu undang-undang, ilmu agama, tahu tradisi
yang wujud di Selangor, (tetap) sanggup mengepikan ilmu dan pengalaman
mereka semata nak meraikan orang yang bernama Anwar dan konconya, maka
orang ini bukan sekadar derhaka kepada Sultan, tetapi derhaka kepada
ilmu dan derhaka kepada segala sumpah yang telah diangkat bila hendak
mencari ilmu yang penuh dengan kemuliaan," katanya kepada Antarapos.
Tanpa menyebut secara khusus individu yang dimaksudkan, Aidit selain
itu berkata, individu tersebut tidak layak mendapat gelaran 'pakar
perlembagaan'.
"Saya musykil bagaimana mereka ini, yang tak ada siapa pun pernah
panggil mereka ini pakar perlembagaan. Tak ada siapa beri. Hanya
kalangan mereka yang memperakui demi mencapai matlamat politk Anwar
Ibrahim," katanya lagi.
Beberapa hari lalu, bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam
Antarabangsa (UIA), Dr Aziz Bari dalam satu forum anjuran Persatuan
Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mendakwa istilah 'kuasa mutlak' oleh
seseorang raja atau sultan tidak wujud mengikut Perlembagaan Persekutuan
dan amalan demokrasi.
"No such thing as absolute power sebab kita mengamalkan demokrasi.
Dalam demokrasi tidak ada apa yang dikatakan kuasa mutlak. Saya fikir
dalam Islam pun tak ada kuasa mutlak.
"Jadi dari mana kuasa mutlak ini (timbul)? Apa asasnya?" kata Aziz
ketika menjawab soalan hadirian yang bertanya mengenai kuasa yang
dimiliki oleh Sultan Selangor dalam melantik seorang menteri besar.
Mengulas berhubung perkara itu, Aidit berkata, jelas sekali individu
berkenaan tidak mengkaji secara teliti sebelum mengeluarkan kenyataan.
"Precedent (amalan terdahulunya) ialah Sultan dan Raja-raja mempunyai
hak mutlak atas siapa yang mereka hendak lantik sebagai MB. Anwar tak
ada hak nak cipta precedent lain. Inilah 'precedent' (amalannya).
Dari segi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, Sultan ada hak untuk
memperkenankan siapa yang jadi MB. Lebih-lebih lagi siapa yang jadi MB,
beliau nanti kena pikul amanah dan perkenan Sultan atau Raja negeri
itu," katanya lagi.
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dalam Artikel 51
memperuntukkan bahawa Sultan mempunyai kuasa mutlak berhubung pelantikan
Menteri Besar negeri itu.
Sultan juga berhak untuk melantik seorang anggota DUN sebagai menteri
besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti
dewan dan syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik mestilah
berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Perkara tersebut dirujuk berdasarkan Artikel 51 (1) serta berdasarkan
Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4)
dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
No comments:
Post a Comment