Monday, August 25, 2014

Undang-udang khas salah laku penjawat awam

MALAYSIAKINI


 


Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mencadangkan digubal undang-undang khas bagi menangani salah laku penjawat awam.

Pengerusi LPPR Zaitun Zawiyah Puteh berkata, penubuhan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha negara dan peguam negara adalah usaha proaktif bagi membendung ketirisan dan kelemahan pengurusan kewangan seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013.

"Justeru, LPPR juga menekankan keperluan mewujudkan undang-undang khas bagi menangani salah laku penjawat awam yang membelakangi peraturan serta kepentingan awam," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Zaitun berkata, LPPR juga mendapati salah satu kelemahan dalam undang-undang sedia ada ialah ketiadaan peruntukan khusus berhubung liabiliti korporat.

Jelas beliau, peruntukan seumpama itu perlu bagi memastikan syarikat tidak terlepas daripada pendakwaan dan hukuman walaupun rasuah dilakukan oleh kakitangan atau ejennya, selain turut meluaskan kuasanya kepada sektor swasta, dan bukannya semata-mata terhadap sektor awam.

Zaitun juga mengesyorkan nama-nama calon yang dicadangkan mengisi jawatan tertinggi syarikat milik kerajaan (GOC) atau berkaitan dengan kerajaan (GLC), melalui proses tapisan keutuhan SPRM.

"LPPR berpandangan nama-nama calon yang dicadangkan mengisi jawatan penting seperti ketua pegawai eksekutif di GLC dan GOC harus dikemukakan kepada SPRM untuk melalui proses Tapisan Keutuhan," kata beliau lagi.

Ia merupakan antara lima saranan digariskan dalam Ulasan LPPR 2013 yang diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) baru-baru ini.

JKMR dan LPPR merupakan dua daripada lima entiti mekanisme semak dan imbang yang memantau perjalanan SPRM sejak ia dibentuk pada tahun 2009.

No comments: