MALAYSIAKINI
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berharap agar PAS tetap mengemukakan satu
nama sahaja sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar Selangor.
Katanya, PAS perlu bertindak sejajar dengan keputusan parti tersebut
dalam konsensus Pakatan Rakyat sebelum ini yang bersetuju untuk
menamakan calon tunggal.
"Kita berpegang pada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) yang turut
dipersetujui PAS yang hanya satu nama sahaja iaitu Datuk Seri Wan Azizah
(Wan Ismail) dicalonkan.
"Apa-apa selain itu bukan daripada konsensus Pakatan," katanya kepada
Malaysiakini ketika ditemui di bangunan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya
hari ini.
Ditanya lanjut mengenai pendirian PAS yang akan menamakan tiga calon PKR
bagi jawatan berkenaan, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada
kebijaksaan pemimpin PAS.
"Itu terpulang pada PAS. Kita serah pada kebijaksanaan pemimpin PAS," katanya lagi.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang
berkata, parti itu akan mencalonkan sekurang-kurangnya tiga ADUN PKR
untuk menjawat kedudukan menteri besar Selangor.
Menurut Mustafa, senarai calon tersebut akan diserahkan kepada Istana sebelum Rabu depan.
Ia bagi memenuhi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
agar ketiga-tiga parti dalam Pakatan mencadangkan lebih daripada dua
nama sebagai calon Menteri Besar Selangor kepada baginda.
No comments:
Post a Comment