MALAYSIAKINI
Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memohon meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor.
Menurut kenyataan istana, sultan bagaimanapun menangguh menerima peletakan jawatan itu sehingga penggantinya ditentukan.
Munir berkata, sultan Selangor juga menitahkan agar pemimpin PAS, PKR
dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon layak
menggantikan Khalid.
Ia, menurut Munir lagi, bagi memudahkan sultan menentukan dan memberi perkenannya.
"Ini sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan
dalam pelantikan menteri besar Selangor sebelum ini,” katanya.
Khalid (atas) turut mengumumkan perkara itu di Facebook beliau.
"Saya telah kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan hasrat untuk meletak
jawatan sebagai Datuk Menteri Besar Selangor dan baginda telah
memutuskan untuk menangguh penerimaan peletakan jawatan saya sehingga
proses pelantikan menteri besar baharu selesai," tulisnya.
Mohon maaf pada istana
Dalam kenyataannya, Khalid juga berkata, beliau menyatakan hasrat
meletakkan jawatan memandangkan “dinamik politik di negeri Selangor kian
meningkat dan telah menimbulkan keresahan rakyat jelata”
“Saya juga telah memohon maaf kepada DYMM Tuanku atas suasana politik
masa kini yang telah menyebabkan pihak istana terheret sama dalam
kemelut pentadbiran di negeri ini,” katanya.
Beliau
justeru menyerahkan kepada kebijaksanaan sultan untuk mencari
penyelesaian terbaik sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada
pemerintah, institusi beraja dan pentadbiran awam.
Khalid juga berharap semua pihak terutama ahli politik, media dan
pengguna media sosial mengelak membuat kritikan yang menjurus untuk
memperkecilkan peranan mana-mana pihak terlibat terutama institusi
beraja dan raja-raja Melayu.
“Biarpun kita menghormati prinsip demokrasi yang memberi kebebasan
bersuara namun adab, tatatertib dan hak-hak DYMM sultan Selangor bawah
Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor perlu dihormati demi kesejahteraan
negeri,” katanya.
Khalid sebelum itu tiba di istana Bukit Kayangan di Shah Alam untuk menghadap Sultan Selangor.
Khalid memasuki kawasan istana pada jam 2.20 petang, lima minit selepas kenderaan Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba di istana.
Menteri besar kelihatan tersenyum melalui tingkap keretanya.
No comments:
Post a Comment