Thursday, August 28, 2014

MAS mesti radikal pulih semula imej

Oleh Dr Norma Mansor


 Tidak syak lagi, 2014 akan selama-lamanya kekal dalam ingatan dan bersemadi di hati sanubari rakyat Malaysia. Dengan tragedi berkembar kapal terbang di mana kehilangan dua pesawat Boeing 777 termasuk 537 penumpang dan anak kapal dalam masa 131 hari.
 
Pada 8 Mac, Penerbangan MH370, terbang dari Kuala Lumpur ke China hilang dengan 239 orang penumpang dan anak kapal. Empat bulan kemudian, Penerbangan MH17, dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 298 orang di atas kapal dilaporkan ditembak peluru berpandu di timur Ukraine berhampiran sempadan Ukraine dan Russia.

 Jika bencana pertama membuat rakyat Malaysia terkejut, yang kedua menakutkan seluruh dunia. Negara kita menghadapi beberapa keadaan: kesedihan, pelbagai spekulasi dan teori, tuduh menuduh, penelitian antarabangsa dan implikasi undang-undang dan diplomatik yang serius. Semua pihak malah dunia masih menunggu siasatan. Adakah kemalangan kembar kapal terbang MAS adalah kebetulan? Jika tidak, mengapa dan apakah kesan ke atas negara ini dan rakyatnya.

Rekod keselamatan terbaik dunia

Sebelum 2014, Penerbangan Malaysia (MAS) mempunyai satu rekod keselamatan terbaik dunia dalam tempoh 68 tahun beroperasi. Mengikut satu sumber, MAS menghadapi kemalangan udara yang membawa kehilangan nyawa sebanyak 1 setiap 1.8 juta penerbangan iaitu 0.000055 peratus dalam tempoh kewujudannya hingga 2005. Pada 4 Disember 1977, Penerbangan MH653, terbang dari Pulau Pinang ke Singapura terhempas dengan 100 orang penumpang meninggal dunia, Jika dikira tahun 2006 hingga 2014 kemungkinan terjadi lebih kecil, 30 peratus daripada data di atas. Tambahan pula, MAS menerima beberapa anugerah lima bintang berprestij industri penerbangan daripada Skytrax (2005-7, 2009, 2012-13; satu daripada tujuh syarikat penerbangan di dunia dan pengiktirafan World Travel Awards sebagai syarikat penerbangan terkemuka di Asia dan ke Asia.

Tragedi kapal terbang menjadi perdebatan awam. Rakyat Malaysia keluarga penumpang MH370 yang hilang percaya tragedi penerbangan MH17 di Ukraine kebetulan semata-mata. Tetapi, ada juga pakar industri seperti Pengarah Rangkaian Keselamatan Penerbangan Harro Ranter, yang mengumpul kemalangan kapal terbang secara berkelompok, berhujah bahawa kemalangan di dalam kelompok tidak luar biasa. Malah, Ranter berkata ia adalah lebih biasa bagi kemalangan berlaku hanya sehari selepas kemalangan lain daripada dua, tiga atau lebih hari kemudian. Menganalisis bilangan dan kekerapan kemalangan maut pesawat yang membawa 14 atau lebih penumpang sejak tahun 1990, beliau mendapati 45 kes apabila terdapat dua atau lebih kemalangan (tidak termasuk perlanggaran) dan 105 kes ada kemalangan berturut-turut (Gee, 2014).

Kesan kepada rakyat Malaysia

Analisis sebegini boleh meragui teori yang menyatakan nahas tragedi berkembar MH370 dan MH17 adalah kebetulan.

Malaysia menyasarkan sektor logistik sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan perjalanan udara adalah sebahagian daripada strategi pertumbuhan pusat logistik bersepadu. Ini adalah ke arah perdagangan import eksport barangan dan perkhidmatan perjalanan di mana KLIA dan MAS adalah antara dua aktor utama dalam rangka strategi ini. KLIA sebagai hab barangan dan perjalanan udara bukan saja untuk bisnes dan pelancongan tetapi juga pelancongan kekeluargaan.

Jika kerajaan masih boleh menangguhkan tindakan radikal ke atas MAS yang merekodkan kerugian besar bagi tiga tahun berturut-turut, tragedi berkembar ini telah menampilkan keadaan yang memerlukan tindakan pantas, radikal dan strategik. MAS perlu dirancang dalam rangka pelan pertumbuhan ekonomi negara. Ini juga dapat memulihkan semula imej MAS sebagai syarikat penerbangan terkemuka.

Sebagai pemegang saham terbesar, Khazanah bercadang untuk mengambil alih sepenuhnya untuk menswastakan MAS supaya syarikat ini dapat disusun semula, dan mengubah strategi syarikat ini. Ini adalah satu cara yang baik untuk menyelamatkan MAS. Mungkin Khazanah boleh memperkenalkan bisnes model yang boleh menjadikan MAS lebih mantap dan kukuh.

Apabila berlaku insiden MH370 kedatangan pelancong China ke Malaysia telah terjejas. Ramai pelancong China membatalkan percutian ke negara kita. Di samping itu, kekerapan penerbangan dari China atau Taiwan ke Malaysia turut berkurang. Pelancong Barat meningkat tetapi adalah terlalu awal untuk menjangkakan kesan selepas MH17 ke atas pelancong Barat.

Dari segi hubungan diplomatik, negara kita telah mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dengan banyak negara lain. Sudah tentu pakar negara kita semakin cekap dan mendapat dari pengalaman negara lain. Pemimpin kita telah diuji dalam keadaan paling sukar, setiap langkah diperhati.

Kemahiran kepemimpinan kali ini ialah jenis kepemimpinan yang tidak diajar di dalam kursus kepemimpinan dan diplomasi konvensional di mana-mana universiti terkemuka di dunia.

Penulis ialah anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara

No comments: