Sunday, August 31, 2014

Kit Siang: Ini k'jaan paling huru-hara

MALAYSIAKINI


 


Penjelasan terkini Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung penggunaan Akta Hasutan 1948 hanya menunjukkan kerajaan sedia ada “paling huru-hara” dalam sejarah pentadbiran Malaysia, kata DAP.

Ketua anggota parlimen parti itu Lim Kit Siang berkata, kenyataan itu menunjukkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berlaku “satu pihak tidak tahu menahu apa yang dilakukan pihak lain”.

“Tiada perdana menteri yang berwibawa di satu sisi menjanjikan Malaysia menjadi 'negara demokrasi terbaik di dunia' tetapi di sisi yang lain membenarkan peguam negara melancarkan siri pendakwaan terhadap pemimpin pembangkang, yang sebenarnya hanya berlaku di negeri demokrasi terburuk di dunia,” katanya.

Lim juga mempersoalkan kenapa kenyataan itu dikeluarkan tanpa menyatakan nama individu secara khusus.

PMO semalam menafikan dakwaan bahawa kerajaan menjalankan pendakwaan terpilih menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa barisan pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurut kenyataannya, sebarang pertuduhan mengikut akta itu ditangani mahkamah dan badan kehakiman Malaysia bebas, seperti boleh dilihat dalam keputusan banyak kes sebelum ini.

Ia turut memaklumkan, sehingga kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Keharmonian Nasiona menjelang 2015, kes sedia ada perlu dibicarakan bawah undang-undang sedia ada.

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari (kanan) pula berkata, tindakan PMO menuding perkara itu kepada mahkamah sebagai salah.

Katanya, siasatan dan pendakwaan berada bawah bidang kuasa eksekutif dan bukan kehakiman.

Pada minggu ini sahaja, sekurang-kurangnya empat orang pemimpin Pakatan didakwa mengikut Akta Hasutan.

No comments: