SHAH ALAM: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan PKR
mencari calon alternatif sebagai pelan B setelah pencalonan Presidennya,
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor ditolak
banyak pihak.
Dihubungi Antarapos hari ini, Zuraida menyifatkan tindakan menyebar
berita palsu itu sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab
semata-mata mahu melihat perpecahan dalam Pakatan Rakyat.
Beliau juga meminta orang ramai menghentikan spekulasi berhubung
jawatan nombor satu itu memandangkan PAS dan DAP belum mengadakan
mesyuarat di peringkat parti masing-masing.
"Di peringkat PR, kita ada perbincangan kerana Pakatan Rakyat
menghormati keputusan yang telah diambil oleh PKR. Jadi, itu mungkin
sumber yang tidak sahih dan mungkin ada usaha beberapa pihak yang cuba
memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Apa pun saya ingat kita tunggu kerana
yang menjadi isu sedikit kerana PAS dan sebagainya. Tapi PAS akan
bermesyuarat dan kita tunggu keputusan mereka.
"Perkara begini biasa. Sewaktu perbincangan itu mungkin ada beberapa
nama lain, kerana calon untuk MB ada dua, tiga nama dibincangkan. Namun
selepas perbincangan ada keputusan (Wan Azizah). Isu ini tidak
berbangkit lagi pada saya," katanya kepada pemberita.
Portal berita The Malaysian Insider hari ini melaporkan sumber-sumber
PKR memberitahu seorang pemimpin parti itu sudah dikenal pasti namun
namanya masih dirahsiakan sehingga konsensus antara PKR-PAS-DAP dicapai.
Sumber berkenaan turut memberitahu nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed
Azmin Ali turut dicadangkan, bagaimanapun ditolak oleh kebanyakan
pemimpin PAS.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun dikhabarkan tidak
bersetuju dengan pelan alternatif tersebut kerana tetap mahu Azizah
yang juga isterinya diangkat sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Antarapos turut mendapatkan reaksi ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkenaan perkembangan terbaharu ini.
"Saya tak boleh beri komen. Saya tidak tahu benar atau tidak. Saya pun
tidak tahu siapa yang buat kenyataan itu. Tetapi parti akan beri satu
nama sahaja," ujarnya.
Semenjak Anwar mengumumkan pencalonan Wan Azizah menggantikan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim, ketiga-tiga parti komponen Pakatan dilihat mula
menuding jari antara satu sama lain.
Usaha PKR menggugurkan Khalid menjadi sukar setelah Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat
mempertahankan beliau atas alasan Khalid bebas dari segala skandal dan
salah laku pentadbiran.
Malah ia semakin memburuk apabila perbincangan kumpulan Ahli
Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat dalam aplikasi WhatsApp yang mencadangkan
parti Islam itu keluar Pakatan Rakyat, tersebar.
Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Pengarah Operasi Penyelidikan
PAS, Dr Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan
Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama
mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.
Khalid juga beberapa kali mengulangi tidak akan meletakkan jawatan dan
akan terus mengetuai pentadbiran negeri sehingga Pilihan Raya Umum akan
datang.
No comments:
Post a Comment