SHAH ALAM: Tiada sebarang catuan air akan dilakukan di Selangor
memandangkan paras air mentah di empangan dan kawasan lembah meningkat,
menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Tiada sebarang catuan akan dibuat ketika ini. Beberapa hari lepas kita
telah buat pembenihan awan dan berjaya meningkatkan paras air mentah,"
katanya melalui satu kenyataan media semalam.
Beliau menafikan dakwaan kononnya paras air di beberapa empangan di negeri itu masih di bawah paras minimum dan membimbangkan.
Ujar Khalid kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan lain termasuk
menggunakan air daripada kolam-kolam sedia ada bagi memastikan bekalan
air mencukupi sehingga bulan November yang dijangka bermulanya musim
tengkujuh.
"Jadi kita tidak ingin buat catuan sebab kalau program penjagaan air
mentah ini dapat dilakukan dan Insya-Allah dapat diteruskan sehingga
bulan November, perkara ini (bekalan air) tidak jadi masalah," katanya.
Semalam Khalid mengikat perjanjian induk mengenai penstrukturan air
dengan Putrajaya yang menurut beliau, memberi jaminan kadar tarif air di
Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk sehingga empat tahun akan
datang.
Perjanjian Dasar Induk itu ditandatangani oleh Khalid sungguhpun ia
ditolak oleh PKR yang menganggapnya sebagai berat sebelah kepada
Putrajaya sehingga memberikannya kuasa luas dalam pengurusan industri
air Selangor.
Perjanjian tersebut bermakna kerajaan negeri Selangor terikat kepada
syarat-syarat yang termaktub di dalamnya sekali pun Khalid ditukar
sebagai Menteri Besar Selangor - sebagaimana yang dituntut oleh PKR.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sebelum ini berkata pihaknya
bercadang mengkaji semula perjanjian air yang dimeterai oleh Khalid
dengan Putrajaya dan tidak mahu beliau menandatangani Perjanjian Dasar
Induk yang menyusul hari ini.
Bagaimanapun Khalid menyanggah desakan itu dan mengikat perjanjian itu dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
No comments:
Post a Comment