Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar dan Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat ketetapan untuk
terus kekal bertanding bagi memiliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pengkalan Kubor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata ketetapan itu perlu
dibuat berdasarkan tradisi kerusi itu yang sejak dua penggal lalu
ditandingi parti berkenaan sekali gus enggan melayan tuntutan PAS.
"Kita mahu kerusi DUN Pengkalan Kubor dikekalkan kepada PKR," katanya
dalam ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR Ke-10, di sini,
sebentar tadi.
Kenyataan Azmin itu seakan mengesahkan keinginan parti itu untuk terus
bertanding di DUN berkenaan biarpun ada ura-ura PAS turut menawarkan
permintaan sama.
Dewan Muslimat PAS semalam menuntut kerusi itu diserahkan kembali
kepada parti itu selepas diwakili PKR sejak dua penggal lalu, yang
menyaksikan kegagalan parti dipimpin Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
untuk menawan DUN itu.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata berdasarkan pengalaman sebelum
ini mungkin sudah tiba masanya kerusi DUN itu diberi nafas baru.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas wakil rakyatnya, Allahyarham
Datuk Noor Zahidi Omar, 57, meninggal dunia akibat barah hati di sebuah
hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi Rabu lalu.
No comments:
Post a Comment