SEPANG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan,
seorang lagi mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang
terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu telah dikenal pasti.
Beliau berkata, perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah mangsa rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti sebanyak 31 orang.
Menurut Liow, kerajaan juga sedang mengatur untuk membawa balik kumpulan ketiga jenazah mangsa MH17 pada 30 Ogos ini.
"Kami akan terus mengemas kini maklumat kepada orang awam untuk
ketibaan jenazah dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi bagi kumpulan
kedua MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL
(KLIA) di sini, hari ini.
Ditanya sama ada usaha membawa pulang kesemua mangsa warga Malaysia
boleh dilakukan sebelum Hari Malaysia pada 16 September, Liow berkata ia
masih tidak dapat disahkan lagi kerana perlu mendapat pelepasan
daripada pihak Belanda.
"Kita masih tidak boleh mengesahkan lagi. Kita tidak tahu sama ada
pihak Belanda boleh mengenal pasti kesemua jenazah," katanya.
Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang
dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah
pesawat khas.
Hari ini, kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi tiba di tanah
air, dan dua daripadanya diberi penghormatan dalam istiadat ringkas
namun penuh penghormatan.
Bagaimanapun satu jenazah yang dibawa balik hari ini tidak mengikuti
istiadat penghormatan atas permintaan keluarga yang mahukan privasi.
Liow berkata kerajaan menghormati permintaan waris dan keluarga yang
mahukan privasi dan tidak terlibat dalam istiadat penghormatan.
"Kami sedar terdapat keluarga yang mahukan privasi...Apa yang kami aturkan adalah mengikut permintaan keluarga," katanya.
Liow berkata kos pengurusan membawa pulang jenazah warga Malaysia dibiayai Malaysia Airlines.
Pesawat MH17, dengan 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga
Malaysia, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam
perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di zon bergolak itu namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment