MALAYSIAKINI
NGO Lawyers for Liberty (LFL) memberi peringatan kepada polis bahawa
peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) sudahpun diisytihar
tidak mengikut perlembagaan oleh Mahkamah Rayuan.
Peringatan itu timbul ekoran amaran oleh polis ke atas penganjur satu
perhimpunan di Brickfields semalam, bahawa tindakan boleh dikenakan ke
atas mereka mengikut APA.
Perhimpunan
itu disertai ratusan individu yang berang dengan seorang penceramah,
Shahul Hamid, atas kenyataan dalam satu video, didakwa menghina penganut
Hindu.
Video ceramah di sebuah surau di Shah Alam itu timbul semula baru-baru ini.
Pengarah eksekutif LFL Eric Paulsen berkata beliau terkejut apabila
mengetahui mengenai amaran tersebut, yang dikeluarkan oleh pembantu
sekretariat ketua polis negara, ACP Asmawati Ahmad, kerana kumpulan
tersebut tidak mengeluarkan notis kepada polis terlebih dahulu.
Katanya, polis sepatutnya tahu bahawa keputusan Mahkamah Rayuan telahpun
memutuskan bahawa Seksyen 9(5) yang memperuntukkan denda RM10,000
sekiranya penganjur tidak memberi notis 10 hari sudahpun dianggap tidak
mengikut perlembagaan.
Oleh itu, peruntukan berkenaan dianggap terbatal dan tidak sah, katanya
lagi yang merujuk kepada kes ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad lawan
Pendakwa Raya.
Paulsen berkata Asmawati tidak sepatutnya mendakwa tidak tahu mengenai
perkara itu kerana pegawai berkenaan sudahpun menerima penghakiman dalam
kes Nik Nazmi.
“Kami ingin mengingatkan polis bahawa keputusan kes Nik Nazmi itu
bersejarah, dan menjadi penghakiman paling pentingan dalam isu hak asasi
sejak Merdeka – ia memberi mesej paling jelas bahawa semua rakyat
Malaysia boleh berhimpun dengan aman,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment