Warga emas hidup dalam sampah


PUCHONG – Bau busuk yang memualkan dan persekitaran penuh dengan tikus serta nyamuk. Lebih teruk lagi haiwan berbisa termasuk ular pernah ditemui di pekarangan rumahnya.

Namun keadaan itu sedikit pun tidak menghalang seorang warga emas menghuni sebuah rumah dipenuhi sampah hasil kutipannya setiap hari.

Difahamkan, wanita yang tinggal sebatang kara itu akan keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam membawa pulang puluhan kilo sampah untuk dipilih.

Sinar Harian dimaklumkan, wanita berkenaan turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

Dia pernah berjanji akan berhenti membawa pulang sampah ke rumah jika kelulusan bantuan JKM diperoleh sebelum ini.

Namun, janji hanya tinggal janji apabila dia berterusan mengumpul sampah sehingga turut dikatakan memenuhi tiga bilik tidur di rumah yang dihuni.

Hobi pelik wanita berusia lingkungan 60-an itu mengundang rasa tidak selesa jiran tetangga yang menghuni perumahan di Taman Bukit Kuchai dekat sini sebelum mengadukan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hasil aduan, sepasukan anggota Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerbu rumah itu semalam dan mengeluarkan hampir tiga tan sampah yang bertimbun di dalam kawasan rumah tersebut.

Dibersihkan kali kelima

Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, semalam kali kelima pembersihan dilaksanakan di rumah wanita berkenaan.

Menurutnya, pihak majlis menerima aduan berulang berhubung isu tersebut daripada penduduk setempat.

“Kuantiti sampah di garaj sahaja hampir memenuhi dua lori satu dan dua tan yang kita bawa untuk operasi pembersihan kali ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk sekitar lega melihat MPSJ mengambil tindakan terhadap apa yang diadukan mereka sebelum ini.

Dakwa mereka, beberapa teguran pernah dibuat kepada jiran yang mengumpul sampah itu, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi apabila nasihat langsung tidak diendahkan wanita tersebut.

Tindakan MPSJ juga didakwa bertepatan kerana penduduk tidak sanggup lagi berjiran dengan rumah yang dipenuhi sampah.

Meskipun operasi dilaksanakan semalam didakwa pada mulanya tidak mendapat kerjasama pemilik rumah namun akhirnya jirannya itu akur dengan tindakan pihak berkuasa.

Penduduk, Ahmad Mansor, 62, berkata, sebaik melihat kelibat kenderaan dan kakitangan MPSJ, wanita tua berkenaan dilihat terus mengunci pintu pagar dan keluar dari rumahnya.

Katanya, wanita itu duduk di hujung jalan dan hanya memperhatikan tindak-tanduk anggota MPSJ dari jauh.

"Bila nampak pegawai MPSJ datang ke rumahnya, dia patah balik. Pada mulanya memang dia tak kasi masuk tapi setelah puas dipujuk, baru dia buka kunci," katanya.

Penduduk tak tahan tanggung derita bau busuk

Menurut Ahmad, penduduk di situ sengsara menghidu bau busuk sampah dan berdepan masalah penularan haiwan pembawa penyakit sejak 10 tahun lalu.

“Jiran kami tu suka kumpul sampah, kalau dia nak jual bahan kitar semula tak kisah, tapi janganlah simpan lama sampai makan masa bertahuntahun," katanya.

Ahmad berkata, yang menimbulkan kebimbangan perumahan diduduki pernah dilabel sebagai kawasan panas penularan wabak denggi.

Katanya, dia percaya selepas seminggu MPSJ mengambil tindakan tersebut, sampah akan kembali menimbun seperti yang berlaku sebelum ini.

“Dia memang tak serik, yang dua lori MPSJ ambil tadi (semalam) hanya di luar rumah saya. Sampah yang dikumpul dalam rumah mungkin perlukan tiga lori untuk mengangkutnya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Ahmad meminta MPSJ membuat pemantauan berkala di rumah berkenaan untuk mengelakkan jirannya kembali mengumpul sampah.