MALAYSIAKINI
Saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Luar
Datuk Seri Anifah Aman akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menolak
permohonan Anifah bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah
Rayuan yang menghidupkan semula saman sivil Anwar terhadapnya.
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus
Sharif, dalam keputusan sebulat suara, memerintahkan kes itu
dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Beliau juga memerintahkan Anifah membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada Anwar.
Perbicaraan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid dijadual selama tujuh hari bermula 8 April.
Pada 27 Mei, 2009, Anwar menyaman Anifah atas kapasitinya secara
peribadi dan rasmi dan Kerajaan, mendakwa beliau telah difitnah dalam
sidang media Anifah bersama-sama Setiausaha Negara Amerika Syarikat
ketika itu Hillary Clinton.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa bahawa dakwaan Anifah
adalah tidak berasas dan amat cuai dan telah dilaporkan secara meluas
dalam media tempatan dan asing.
Anwar memohon RM100 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 6 Januari 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara
membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan Anifah dan kerajaan
untuk menggugurkan saman itu.
Mahkamah Rayuan pada 25 Jan, 2013, membenarkan rayuan Anwar untuk
menghidupkan semula saman terhadap Anifah atas kapasiti peribadi.
Mahkamah (Mahkamah Rayuan), bagaimanapun menolak rayuan Anwar untuk
menghidupkan semula samannya terhadap Anifah atas kapasiti rasmi sebagai
Menteri Luar dan juga terhadap Kerajaan Malaysia.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Anifah manakala Anwar diwakili peguam R Sivarasa.
-Bernama
No comments:
Post a Comment