Selasa, 3 Disember 2013

Ustaz Kazim: Ahli MKT yang paling kontroversi

 
Apabila Ustaz Kazim Elias diumumkan sebagai ahli MKT, heboh seluruh Malaysia kononnya Umno 
ketandusan ulama kerana melantik orang PAS.




PETALING JAYA: Minggu lepas Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan perlantikan sembilan orang ahli majlis tertinggi (MKT) dilantik termasuk pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias.

Lapan orang yang lain ialah Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz, Datuk Hamzah Zainudin, Datuk Irmohizam Ibrahim, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abdiin, Datuk Johari Abdul Ghani, Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Apabila Ustaz Kazim diumumkan sebagai ahli MKT, heboh seluruh Malaysia kononnya Umno ketandusan ulama kerana melantik orang PAS. Malah Naib Presiden PAS,  Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man secara sinis menyindir Umno melantik ahli biasa PAS sebagai ahli MKT Umno.

Setiap minggu kita dapat menonton beliau menyampaikan ceramah di Astro Oasis dalam program “Kalau Sudah Jodoh”. Untuk menjadi MKT, sekurang-kurangnya seseorang itu sudah pegang jawatan di Bahagian selama sepanggal.

Ustaz Kazim tidak perlu pegang jawatan ahli jawatankuasa Umno Bahagian sepenggal, tetapi beliau terus dilantik oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah beliau belum menjadi ahli Umno terus dilantik ahli majlis tertinggi. Inilah transformasi yang dibuat oleh Najib untuk meramaikan lagi golongan agamawan dalam majlis tertinggi selain Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Dr. Asyraf Dasuki.

Ketua Pemuda PAS Perak, Raja Iskandar Al Hiss berkata Ustaz Kazim ahli PAS sejak tahun 1998. Heboh seluruh negara Najib melantik orang PAS sebagai ahli MKT Umno.

Semalam Ustaz Kazim mengumumkan keluar dari PAS kerana kecewa orang PAS banyak memfitnahnya sedangkan menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali berkata beliau sudah dipecat dari PAS pada bulan Mei lalu.

Oleh itu di saat beliau dilantik MKT, beliau bukan lagi ahli PAS. Oleh itu tidak timbul isu betapa mudahya pendakwah bebas dimakan serigala seperti kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Seperti kata Prof. Datuk Mohamad Agus Yusof, beri peluang kepada Ustaz Kazim berkhidmat kepada Umno walaupun abangnya tidak setuju beliau dilantik MKT. Abangnya Datuk Najmudin Elias yang juga pegawai khas Menteri Besar Perak bimbang beliau tidak akan berdakwah lagi selepas dilantik ahli MKT.

Semalam Ustaz Kazim telah menemui Perdana Menteri. Menurut Ustaz Kazim, Najib akan umum kedudukannya apabila tiba masanya. Najib boleh melantik Ustaz Kazim sebagai pemikir JASA di mana beliau bebas berceramah di seluruh negara.

Kalau dahulu beliau berceramah, semua pengunjung tidak kira parti mendengar ceramahnya tetapi selepas menjadi MKT Umno, orang PAS tidak akan mendengar ceramahnya lagi. Atau dengan masuknya Ustaz Kazim dalam Umno, maka beliau dapat menarik lebih ramai ahli PAS menyertai Umno.

Semoga kehadiran Ustaz Kazim dalam barisan kepimpinan Umno dapat membawa idea baru.

Selamat bertugas Ustaz Kazim.

Tiada ulasan: