Sabtu, 14 Disember 2013

Syiah dan manipulasi politik


Oleh HARIS ZALKAPLI


Isu Syiah dan hal-hal berkaitan dengannya kini menjadi satu isu besar dalam politik negara, dan muncul sebagai satu isu yang menarik respons kuat daripada pihak-pihak berkepentingan.

Isu Syiah ini muncul bukan secara terpisah daripada isu-isu global dan politik tempatan, dan bukan semata-mata menjadi topik debat berhubung pentadbiran agama Islam di negara ini.

Kali ini, isu Syiah tidak boleh dilihat secara terasing daripada perkembangan politik di peringkat global yang rancak melibatkan persaingan kuasa-kuasa utama dunia Islam.

Pada masa sama, sikap dan pendekatan, dan pembingkaian isu Syiah oleh pemerintah di negara ini juga wajar disorot dengan lebih kritikal.

Hal berkaitan "kebangkitan Syiah" mula diperkatakan di rantau Asia Barat pada 2004, sejurus selepas kejatuhan pemerintahan Baath di Iraq, yang disusuli oleh politik yang lebih terbuka, sekaligus membuka ruang kepada penglibatan majoriti Syiah negara itu.

Wacana yang panjang dan mendalam berhubung kebangkitan Syiah di dunia Arab dan dunia Islam bermula pada masa itu.

Kemudian, ekoran perang antara militia Hizbullah, proksi Iran di Lubnan dengan tentera Israel pada musim panas 2006, populariti kumpulan Islam Syiah itu meningkatkan kebimbangan terhadap peningkatan populariti dan pengaruh Syiah dan Iran.

Keresahan pemerintah-pemerintah Arab Sunni, terutama monarki Arab di Teluk Parsi terhadap kebangkitan Iran dan Syiah terus meningkat, dengan persaingan utama melibatkan Arab Saudi dengan Iran.

Kedua-dua Arab Saudi dan Iran melihat diri masing-masing sebagai pemimpin dunia Islam, dan bersaing sengit mengukuhkan pengaruh di dunia Arab dan dunia Islam sejak 1979.

Persaingan ini menjadi isu asas kepada pelbagai isu dan peristiwa, sama ada disedari atau tidak oleh pihak-pihak lain yang terlibat.

Isu Syiah yang panas pada masa kini dapat diperhatikan mula muncul dengan lebih tersusun dan digerak dengan agresif sejak bermula konflik di Syria.

Pemerintah Baath Syria yang sekular dan menganut agama Alawi dalam kempen oleh kumpulan-kumpulan anti-Syiah sering dikemukakan sebagai "Syiah," tanpa penjelasan lain, dan segera dikaitkan dengan Iran, yang dipercayai bertujuan menyampaikan gambaran salah.

Hal yang hampir sama dilihat semasa konflik di Yaman bermula pada 2009, apabila pemberontak Houthi juga disebut sebagai "Syiah," tanpa menyebut aliran Zaidiyah, yang umumnya lebih diterima Muslim Sunni berbanding Imamiyah.

Kempen-kempen benci anti-Syiah -- dan anti-Iran -- mula meningkat dengan dramatik sejak konflik Syria, yang segera sampai di Malaysia dan mencetuskan debat simplistik dan divisif dalam kalangan Muslim Malaysia.

Secara tiba-tiba, muncul pelbagai kumpulan sama ada yang dikenali atau yang tidak mendedahkan identiti yang matlamat utamanya menyebarkan sentimen benci terhadap Syiah dengan hujah yang lemah dan bukti yang diragui.

Malah, ramai yang muncul memberikan ceramah dan penerangan isu-isu geopolitik dan hubungan antarabangsa dengan mengemukakan hal-hal yang jelas salah dan tidak bersandar pada kajian.

Semua ini memberi petunjuk kewujudan kepentingan tertentu dalam memanipulasi isu Syiah untuk mewujudkan sentimen benci dan mengaburi isu geopolitik dan kepentingan kuasa yang lebih mendasar.  

Pada masa sama, pentadbiran Najib juga menunjukkan hubungan yang rapat dengan Riyadh dan negara-negara Arab Teluk Parsi, negara-negara yang diketahui berseberangan dari segi politik dengan Iran.

Malah, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak sendiri pernah menerima anugerah daripada kerajaan Arab Saudi, Hadiah Raja Abdulaziz pada Januari 2010.

Tiada ulasan: