Selasa, 17 Disember 2013

Pemuda Umno hanya berkokok isu kenaikan harga – Nik Nazmi

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Lagak Pemuda Umno untuk menjadi hero kononnya mahu membawa isu jenayah, rasuah dan kos sara hidup ke mesyuarat kabinet esok ibarat ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebelum ini Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sekadar bercakap, namun tetap gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan muda di negara ini.

“Kita tidak mahu Khairy dan pemuda Umno bermain wayang semata-mata berkokok di luar seperti isu menyenarai hitam atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” kata Nik.

Nik Nazmi

21 Ogos lalu, Khairy dalam kenyataannya berkata, pentadbiran Najib tidak akan menyenarai hitam peminjam PTPTN, sedangkan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan pelaksanaan itu hanya ditangguh sementara.

Sementara pada 4 Disember lalu, Khairy semasa berucap depan pemuda Umno cuba menarik perhatian konon tidak bersetuju kenaikan tarif elektrik pada 2014.

“Beliau juga menyerang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam isu kenaikan tarif elektrik sebelum ini, tetapi gagal menghentikan satu demi satu kenaikan kos kehidupan,” katanya.

Terbaru, Khairy tetap gagal mengekang pentadbiran Najib mengumum kenaikan tol yang diumum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Tiada ulasan: