Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA ke-49  
Ketua Pemuda MCA yang baru, Chong Sin Woon (tengah) bergambar bersama kepimpinan baru sayap pemuda bagi penggal 2013-2016 pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA Ke-49 di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama timbalan ketua pemuda MCA Lee Ching Yong (enam, kiri) - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA ke-49 hari ini meluluskan 17 resolusi yang antaranya melaksanakan pelan transformasi dan menyatupadukan anggota parti bagi mengembalikan martabat parti dan sokongan rakyat terhadap MCA.
  
Resolusi itu yang berkaitan hal ehwal parti, politik, ekonomi, pendidikan, keselamatan, ketenteraman awam serta hal ehwal kerajaan, diluluskan sebulat suara oleh 1,515 anggota perwakilan.
  
Timbalan Speaker Chew Lian Keng berkata, bagi resolusi berkaitan hal ehwal parti, MCA diminta meminda perlembagaan parti supaya sekurang-kurangnya seorang anggota perwakilan pusat MCA diadakan di peringkat Pemuda MCA bahagian bagi memperbanyak suara dan pandangan golongan pemuda dalam parti.
  
Resolusi politik pula mencadangkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) supaya mengenakan tindakan tegas terhadap pemimpin yang mengeluarkan kenyataan ekstrem sehingga memecahbelahkan keharmonian di negara ini, selain memberi perhatian kepada isu disiplin dan tatatertib pemimpin BN di semua peringkat, katanya pada sidang media di Wisma MCA hari ini.
  
Bagi resolusi ekonomi, para perwakilan meminta kerajaan mempercepat pembinaan rumah mampu milik, menambah kuantiti unitnya dan memantau secara komprehensif perkembangan perumahan dan hartanah dalam negara untuk mengelak spekulator daripada mengawal harga hartanah demi mengaut keuntungan.

Selain itu, mereka turut meminta kerajaan memperkasa belia dalam bidang ekonomi, seperti penyediaan jumlah pinjaman yang lebih besar dan peluang penyiaran dalam media perdana bagi tujuan penonjolan bakat dan hasil inovasi mereka.
  
Para perwakilan juga mencadangkan kerajaan supaya menurunkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada 6 peratus kepada 4 peratus semasa melaksanakannya pada 1 April 2015 selain memperbanyak barang-barang yang dikecualikan GST demi meringankan beban rakyat.
  
Bagi pendidikan pula, mereka berharap kerajaan meningkatkan peruntukan sekolah rendah setiap aliran dan mencadangkan peruntukan sekurang-kurangnya RM200 juta untuk 1,295 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) setiap tahun.
  
Kerajaan juga diminta mengkaji semula sistem pengambilan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam supaya prinsip meritokrasi digunakan sebagai piawaian bagi mengelak kepincangan dalam sistem pengambilan.
  
Mereka turut menggesa pengiktirafan United Examination Certificate (UEC) direalisasikan selain meminta kerajaan memberi kelulusan untuk menambah jumlah sekolah menengah persendirian Cina bagi menampung keperluan semasa.
  
Bagi aspek sosial, mereka berharap ketenteraman awam diperkasa dari semasa ke semasa seperti penambahan tenaga anggota keselamatan, kekerapan meronda dan menambah bilangan sistem kamera litar tertutup untuk membanteras kes jenayah dengan lebih berkesan. - Bernama