SHAH ALAM – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tahap pelajar-pelajar negara ini terbelakang berbanding pelajar di Vietnam.
Ia ekoran kegagalan sistem pendidikan yang dilaksanakan sebelum sempat dikaji sepenuhnya.
“Sistem pendidikan sesuatu yang serius yang akan memberi kesan langsung kepada masa depan negara dan bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya...yang tenggelam dalam pasir jerlus ini merupakan generasi anak-anak kita yang kini terbelakang berbanding Vietnam.
“Malangnya, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilakukan sebelum kita sempat melatih serta meningkatkan keupayaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru-guru,” katanya ketika berucap di Konvensyen Pendidikan #TFTN2013 Pendidikan Masa Hadapan Demi Malaysia yang Lebih Baik, semalam.
Menurutnya, generasi masa kini yang akan terkesan hasil daripada kepincangan sistem itu malah diperkuat lagi dengan laporan ‘Trends in Mathematics and Science Study’ (TIMSS) pada tahun 2011 serta laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012.
“Laporan TIMSS menunjukkan kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu 16 (1999), 10 (2003 ), 20 (2007) dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007) dan 32 (2011).
“Yang hairannya, kontradiksi yang diperlihatkan Laporan Lembaga Peperiksaan. Rekod pelajar mendapat A dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin meningkat. Apakah sebenarnya yang berlaku?.
“Tahun ini, laporan PISA turut mengejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum. Terkini, Pelajar tingkatan tiga kita setaraf dengan murid darjah lima dari Singapura dan Korea Selatan,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal kepincangan sistem pendidikan terbaru, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
“Saya membawa isu pelaksanaan PBS kepada perhatian pembentang Laporan Pendidikan World Bank atas Malaysia, Frederico Gil Sanders.
“Jawab Frederico mudah, seperti kesimpulan Majalah Saintifik Malaysia terdahulu. ‘Laksana saja inkuiri yang indipenden berserta kaji selidik untuk meneliti keberkesanan pelaksanaan PBS. Kemudian, dipersembahkan untuk tatapan umum’,” katanya.
Izzah menasihatkan Kementerian Pendidikan supaya mendengar.
“Malangnya apabila saya bawa ke perhatian menteri di Parlimen, sikap defensif yang menjelma. Mahu saja saya berpesan kepada menteri dan timbalan-timbalannya, ‘listen, listen, listen, listen, listen, listen, listen’.
“Dalam buku Syed Husin Al Attas dalam buku Intelek Masyarakat Membangun telah dedikasi satu bab berjudul Bebalisme.
“Saya seru, hentikanlah bebalisme seperti itu. Sudah tiba masanya kita akui kelemahan sistem pendidikan kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan