shahbudindotcom
Ekoran rungutan berterusan orangramai mengenai kos sara hidup yang kian meningkat berikutan berlakunya siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan, Najib Razak semalam mengumumkan penubuhan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup dibawah Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan atau Pemandu bagi mengkaji dan merangka langkah-langkah susulan menangani masalah itu.
Menulis di laman sosial Facebooknya, Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat berkenaan kenaikan kos sara hidup dan sedang mencari formula sesuai untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Disebabkan itu, katanya, kerajaan bersetuju menubuhkan makmal tersebut yang diletakkan di bawah Pemandu.
Respon Najib ini adalah jelas untuk menunjukkan beliau tetap seorang pemimpin yang prihatin kepada kesejahteraan rakyat berikutan pelbagai kenaikan yang berlaku sejak selepas PRU 13 lalu lebih memperlihatkan beliau seolah-olah bukan lagi Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat serta tidak mempedulikan rungutan yang kian meningkat.
Najib dilihat memilih cara mudah untuk menambah pendapatan negara iaitu dengan cuba mengambil lebih banyak wang daripada poket rakyat melalui kenaikan cukai dan menghapuskan subsidi serta dalam masa yang diminta berkorban dan berjimat-cermat.
Namun yang menjadi persoalan ialah kenapa baru sekarang beliau tergerak hati mahu menubuhkan makmal mengenai kos sara hidup itu. Apakah sebelum menaikkan harga barang, beliau tidak pernah memikirkan kos sara hidup rakyat? Makmal ini sepatutnya ditubuhkan sebelum sebarang kenaikan dilakukan dan bukannya selepas banyak kenaikan dilakukan.
Benarlah kata orang, kehidupan sebagai anak bangsawan menyebabkan beliau tidak dapat memahami derita rakyat miskin. Kehidupan serba mewah sejak lahir menyebabkannya tidak pernah merasai denyut nadi rakyat bawahan dan pemahamannya mengenai kemiskinan hanyalah sekadar memandang melalui jendela dari sebuah rumah banglo.
Dengan menubuhkan makmal hanya setelah melakukan pelbagai kenaikan dan meletakkan rakyat dalam kehidupan hampir "nyawa-nyawa ikan", menunjukkan Najib seorang yang tidak memandang ke hadapan, tiada perancangan konkrit dalam mengurus negara dan menjaga kebajikan rakyat. Semua urusan negara seolah-olah dilakukan berdasarkan pendekatan "ad-hoc" dan konsep "trial and error" saja.
Apa yang berlaku sekarang memperlihatkan Najib sedang mengamalkan pendekatan terbalik dalam mengurus negara dan kerajaan iaitu dengan melakukan sesuatu terlebih dahulu, kemudian barulah membuat kajian sedangkan sepatutnya kajian dan fikiran mendalam dilakukan terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan mahu dibuat.
Sekiranya makmal ini ditubuhkan sebelum pelbagai kenaikan dilakukan, Najib pasti mendapat lebih maklumat mengenai kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada kehidupan rakyat dan tidak menjadikan dirinya pemungkir janji paling zalim di mata rakyat.
Selain itu, dengan meletakkan makmal ini di bawah Pemandu, persoalan yang timbul ialah apa sudah jadi dengan jentera kerajaan sedia ada? Apakah Najib tidak mempercayai lagi pelbagai jentera dan agensi kerajaan untuk melakukan kajian yang melibatkan kehidupan rakyat ini?
Untuk mendapat maklumat mengenai kos sara hidup ini, Najib juga boleh mendapatkannya melalui UMNO dan parti-parti komponen BN yang rangkaiannya lebih menyeluruh dan mempunyai cawangan di serata tempat. Pemimpin peringkat cawangan, bahagian, penghulu dan ketua kampung sebenarnya boleh mendapatkan maklumat dan kajian lebih tepat mengenai kos sara hidup ini kerana mereka lebih bergaul dengan pelbagai jenis kelompok rakyat.
Kenapa Pemandu juga yang dipilih oleh Najib sedangkan untuk mendapatkan maklumat mengenai kenaikan kos sara hidup bukanlah suatu kerja yang susah sangat?
Dengan menyerahkan kepada Pemandu untuk menjalankan makmal ini, persoalan yang timbul juga ialah berapa juta lagi kos yang mahu dikeluarkan oleh kerajaan mengenainya. Sudah tentu Pemandu tidak punya kakitangan dan dan upaya untuk melakukan kajian ini, sebaliknya akan menyerahkannya kepada perunding luar untuk melakukan kajian bagi pihaknya.
Jika sebelum ini Parlimen sudah diberitahu bahawa sepanjang lima tahun Najib menjadi Perdana Menteri, beliau sudah membelanjakan RM7.2 bilion untuk mengupah perunding atau konsultan luar bagi melakukan pelbagai tugas sehingga mereka ini layak digelar con-sultan atau con-setan, dengan adanya makmal mengenai kos sara hidup ini tentunya sekali lagi duit rakyat akan dirobek bagi tujan itu.
Mungkin puluhan juta terpaksa dibelanjakan bagi mengupah perunding luar ini sedngkan hasil kajiannya belum pasti membuahkan sesuatu yang menggembirakan kepada rakyat.
Persoalan lain yang timbul ialah berapa lamakah makmal ini diberikan masa untuk menjalan tugasnya. Jika contohnya enam bulan baru hasil kajian itu dapat diperolehi, apakah sepanjang tempoh enam bulan itu rakyat hanya dibiarkan saja menanggung beban derita kehidupan mereka?
Isu kenaikan kos sara hidup adalah isu kritikal ketika ini. Majoriti rakyat terbeban kehidupannya. Najib seharusnya mengambil langkah lebih pantas untuk menanganinya. Sekarang bukanlah lagi masa untuk beretorik dan melakukan kejian dengan menubuhkan makmal atau seumpamanya. Sekarang adalah masa untuk beliau bertindak segera.
Menubuhkan makmal kajian yang akan memakan masa beberapa bulan, hanyalah bertujuan melengahkan masa untuk bertindak dalam membantu rakyat. Ingatlah bahawa rakyat sudah lama terbeban kehidupannya dan kajian demi kajian tidak akan merubah apa-apa.
Mengaku mendengar keluh-kesah rakyat saja tidak lagi memadai. Mendengar mesti disusuli dengan tindakan yang segera dan pantas. Di ketika ini, Najib mesti berfikir seperti seorang doktor untuk mengubati penyakit dan bukannya seperti seorang peguam yang suka melengah-lengahkan masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan