HASRIZAL ABDUL JAMIL
Antara subjek paling susah yang saya pernah belajar ialah Ancient
Indian Civilization yang diajar oleh Assc Prof Dr Arshad Islam. Subjek
itu sangat susah bagi saya kerana ia merupakan maklumat yang hampir 100
peratus baru buat saya. Dalam masa yang sama Prof mengajar secara ‘old
school‘ yang mana sebelum kami dibawa ke peringkat analisis, kami perlu
sangat banyak menghafal. Peraturan nahu kitab Veda pun dipaksanya kami
hafal.
Mengkaji Tamadun Indus awal, kami meneroka bersama
data-data arkeologi dari Lembah Zhob di utara Baluchistan. Kami juga
dikehendaki memahami tablet tembaga Mohenjo-daro hinggalah kepada
menganalisis pengaruh Trio, Asvaghosa, Nagarjuna dan Aryadeva ke atas
seni Gandharan.
Kajian-kajian di dalam subjek ini memahamkan
kepada saya bagaimana perkembangan yang berlaku kepada agama Hindu,
reformasi Buddha dan tajuk ‘assignment‘ akhir saya ialah “menganalisis
kemasukan konotasi agama ke dalam sistem kasta pasca kedatangan kaum
Aryan”.
Sejujurnya, banyak fakta yang saya sudah tidak ingat,
namun subjek yang sangat perit ini banyak memberi pengetahuan kepada
saya tentang perkembangan tamadun manusia di Benua India, yang merebak
ke kawasan Teluk seperti Bahrain, hinggalah ke Lembah Bujang dan
Borobudur.
Saya berkongsi cerita ini kerana tertampar oleh
keangkuhan ahli politik, dan orang ramai yang merumuskan kemusnahan
Candi 11 di Lembah Bujang sebagai remeh dan ia sekadar tinggalan HINDU.
AL-BIRUNI DAN TAMADUN INDIA
Mungkin
kita terlupa atau tidak pernah tahu tentang Abū al-Rayhān Muhammad ibn
Ahmad al-Bīrūnī. Beliau yang dikenali sebagai Alberonius atau Al-Biruni
meninggal dunia pada 13 Disember 1048 di Ghazni.
Para pengkaji
dalam bidang sejarah dan ketamadunan seperti Francis Robinson
berpendapat bahawa al-Biruni yang merupakan seorang ulama Islam dan
saintis terkenal, adalah pengasas kepada bidang INDOLOGY iaitu bidang
yang mengkaji sejarah dan tamadun benua India. Al-Biruni menghasilkan
kitab “Tarikh Al-Hind” (History of India) melalui sedekad keberadaan
beliau di India di tengah-tengah masyarakat beragama Hindu.
Al-Biruni
juga memberikan kepada kepada satu sampel kaedah penyelidikan yang
adil. Kerana itu beliau juga dianggap sebagai pelopor kepada bidang
anthropologi. Al-Biruni tidak bias dalam menilai malah menganalisis
dapatannya untuk menjelaskan mengapakah kaum Hindu sangat bermusuh
dengan umat Islam. Al-Biruni juga akhirnya disenangi oleh pemuka-pemuka
tempatan yang melihat beliau sebagai seorang ‘orang luar’ yang jujur
dalam mencari ilmu pengetahuan.
Sikap menjaga amanah ilmu beliau disebut:
I
shall not produce the arguments of our antagonists in order to refute
such of them, as I believe to be in the wrong. My book is nothing but a
simple historic record of facts. I shall place before the reader the
theories of the Hindus exactly as they are, and I shall mention in
connection with them similar theories of the Greeks in order to show the
relationship existing between them.(1910, Vol. 1, p. 7;1958, p. 5)
Al-Biruni
juga menghasilkan sebuah kitab yang mengkaji pemikiran kaum Hindu.
Kitab itu dikenali sebagai “Critical Study of what India Says, Whether
Accepted by Reason or Refused“, yang juga lebih dikenali sebagai Indica.
KEPENTINGAN ILMU MERENTAS AGAMA DAN BANGSA
Sangat
tidak wajar untuk kita berkata, “ah, itu tinggalan Hindu”, “itu benda
syirik” apatah lagi kita sedang membangunkan sebuah negara yang
penduduknya berbilang bangsa dan agama. Aqidah adalah urusan kita sesama
umat Islam dan Aqidah Islam mempunyai pandangannya terhadap
kepercayaan-kepercayaan yang lain. Agama yang lain juga mempunyai ulasan
dan kritikan mereka terhadap kepercayaan kita sebagai umat Islam.
Tetapi
aspek ketamadunan, pengalaman manusia dalam membina kehidupan, ia
merentas bangsa dan agama. Kita mengkaji segala-galanya. Dan pemusnahan
Candi 11 itu mestilah menjadi tragedi terakhir di negara kita, manakala
sumber-sumber sejarah yang lain di Lenggong, di Beruas dan lain-lain
mestilah dipelihara untuk ilmu.
Dan kerajaan yang bijak, akan memanfaatkan ia untuk tujuan pelancongan yang berfaedah.
Kerajaan
Turki memelihara bandar Birgi di Ödemiş Izmir, serta diwartakan seluruh
wilayahnya sebagai World Heritage Centre oleh UNESCO pada tahun 2012,
tanpa sedikit pun menjejaskan kepentingan pendudukan seperti yang
dihujahkan secara dangkal oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung
Dawai, malah yang dirisaukan adalah kehilangan satu Dewan Undangan
Negeri, jika kawasan Lembah Bujang digazetkan!
Khuatir sekali,
apa sahaja isu yang timbul di Malaysia, ahli politik akan menyempitkan
isu tersebut kepada sentimen parti, bangsa, dan agama. Mangsa sebenarnya
adalah ilmu, akademik dan pembodohan jangka panjang masyarakat.
Ya, ia memang sebuah ujian.
Ujian
yang menguji sistem nilai kerajaan dan keupayaan mereka mengekalkan
khazanah dunia bersama pemeliharaan kepentingan penduduk tempatan. Jika
tidak tahu, pergi ke luar negara dan belajar daripada yang tahu.
Ironi
sekali pada tahun 2013, kerajaan memutuskan untuk menjadi subjek
Sejarah sebagai subjek wajib lulus, pada tahun yang sama Lembah Bujang
dimusnahkan untuk projek perumahan.
http://saifulislam.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan