Jumaat, 6 Disember 2013
Khutbah Jumaat: Solat, doa tak guna jika amal rasuah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam mengenai bahaya rasuah kerana antara kesan buruk perbuatan itu adalah terluputnya ibadah solat dan doa akibat menggunakan sumber yang haram.
Menurut Jakim, sekiranya rasuah tidak segera dibanteras nescaya umat Islam akan terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan akibat kemurkaan Allah.
“Bayangkan, alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan ini, ibadah dan doa menjadi sia-sia. Justeru, ia menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah.
“Rasuah hanya dilakukan oleh mereka yang tidak yakin dengan pengawasan Allah serta pembalasan-Nya di hari akhirat. Ingatlah bahawa setiap darah daging kita daripada hasil yang haram, tipu daya, khianat dan pecah amanah maka api neraka adalah tempatnya,” katanya melalui khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk “Merakyatkan Usaha Membasmi Rasuah”.
Jakim turut menyifatkan mereka yang menolak rasuah adalah manusia hebat kerana menjamin kesinambungan keturunan beriman dan berintegriti serta meningkatkan martabat organisasi warga pengurusan.
Kata badan itu, mereka yang menjauhi rasuah dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin berani memerangi rasuah serta membuktikan amalan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji yang diamalkan berjaya mencegah diri daripada terlibat dengan najis rasuah.
“Sabda Rasulullah SAW bermaksud setiap daging yang tumbuh hasil daripada makanan yang haram itu maka api neraka adalah lebih utama untuknya. Mimbar ingin mengingatkan bahawa pengamal rasuah, penyalahguna kuasa, pengkhianat amanah dan mereka yang bersubahat dengan amalan rasuah adalah pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara.
“Apabila sifat tamak telah bertapak di hati, bisikan untuk melakukan rasuah akan mula mempengaruhi diri. Inilah buktinya kelemahan iman seseorang yang menyebabkan mereka mudah diperkotak-katik oleh nafsu dan mengikut hasutan syaitan,” katanya.
Menurut Jakim, seseorang yang didorong oleh perasaan tamak haloba dan mementingkan diri sendiri amat cekap serta berani melanggar batasan digariskan Islam padahal perbuatan itu hanyalah memusnahkan diri sendiri, organisasi dan negara malah mengakibatkan setiap punca pendapatan yang tidak halal.
Katanya, kesalahan rasuah tidak mengira golongan atau amaun transaksi yang terlibat tetapi terletak pada perbuatan sama ada pemberi, penerima atau menjadi orang tengah kepada perbuatan rasuah tersebut.
“Ini boleh berlaku apabila seorang pekerja yang mengampu ketua dan suka bermuka-muka dengan kerjanya, sedangkan diri sendiri tiada kebolehan dan kemahiran.
“Kemahirannya ialah berlakon untuk mengaburi mata ketua dan kadangkala melibatkan penyelewengan tugas, penipuan dalam kenaikan pangkat dan ketirisan dalam penggunaan wang rakyat,” katanya.
Khutbah hari ini turut mengingatkan hadirin perjuangan menentang rasuah bukan hanya terletak di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pun pihak pemerintah semata-mata bahkan ian adalah tanggungjawab bersama pelbagai lapisan masyarakat.
Khatib berkata, perbuatan licik lagi jahat itu nampak seperti tidak bercanggah dengan undang-undang negara tetapi ia tetap bercanggah dengan hukum Syarak.
“Sempena sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia pada 9 Disember, inilah masanya semua pihak perlu menggembleng tenaga memerangi rasuah secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahu pun swasta.
“Yakinlah, semakin gigih usaha dakwah yang kita laksanakan untuk memerangi rasuah, pasti semakin jelas kesan perubahan positif yang akan berlaku. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan supaya hak rakyat didahulukan dan prestasi menghapus rasuah di utamakan,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan