KUALA LUMPUR - Suami kepada Noraida Abd. Mutalib, wanita yang
dikatakan mempunyai skandal kontroversi dengan pelakon, Adi Putra,
Amiruddin Othman hari ini memberitahu pihaknya telah membuat laporan
polis di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pagi tadi susulan
keputusan tiada tindakan selanjutnya (NFA) ke atas pertuduhan terhadap
pelakon itu.
Amiruddin berkata, laporan tersebut dibuat di bahagian tatatertib
selepas pegawai penyiasat kes tersebut, Inspektor Fergie Din dilihat
sebagai tidak profesional serta bias atau berat sebelah.
"Susulan daripada keputusan NFA ke atas laporan yang telah dibuat, saya
bersama isteri saya telah membuat satu laporan polis di Bukit Aman
terhadap pegawai penyiasat di bahagian tatatertib kerana saya merasakan
yang penyiasatan yang dilakukan tidak telus dan tidak profesional.
"Mengapa saya rasakan siasatan tidak telus?Kerana pihak siasatan telah
mengarahkan saya menarik balik laporan yang telah dibuat selain pegawai
penyiasat terbabit kelihatan mesra bersama suspek yang hadir ke balai
polis untuk memberi keterangan," katanya kepada pemberita semasa sidang
media di Hotel Concorde di sini hari ini.
Sementara itu, Noraida ketika ditanya mengapa beliau terus berhubung
dengan Adi Putra selepas pelakon itu dikatakan mula menghantar pesanan
berbaur lucah, beliau menjawab beliau melakukannya kerana terlalu teruja
kerana telah meminati pelakon itu sejak sekian lama lagi.
"Memang saya yang mula menghantar pesanan kepadanya tetapi lebih kepada
ucapan selamat kerana saya tahu beliau sedang mengerjakan umrah.
"Saya juga sudah berkata kepadanya supaya berhenti menghantar pesanan
'lucah' tersebut tetapi saya tidak sangka dia teruskan juga, dan saya
terus layan beliau kerana saya sangat teruja selain sikap beliau yang
romantik dan pandai memujuk,' ujarnya.
Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 32, pada malam
Khamis telah membuat satu sidang media menyatakan kes berkenaan telah
digugurkan oleh pihak polis dan tiada tindakan lanjut atau ‘no further
action (NFA)’ serta menganggap kes tersebut telah selesai.
Adi menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dibuat untuk mengaitkan
dirinya dengan isu tersebut akan dianggap sebagai cubaan menjatuhkan
reputasinya.
Pada September lalu Adi didakwa menjalinkan skandal dengan isteri orang
dan aktor itu disiasat polis selepas suami wanita berkenaan iaitu
seorang ahli perniagaan dari Johor membuat aduan.
Akhbar melaporkan, pelakon KL Gangster itu didakwa saling berbalas mesej
dan bertukar gambar lucah dengan wanita terbabit yang berusia 30 tahun
walaupun baru seminggu berkenalan.
Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman
Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi
WhatsApp sejak 29 Julai lalu sehinggalah perbuatan berkenaan dihidu
suami wanita itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan