KUALA LUMPUR - Saingan bagi jawatan presiden MCA dalam pemilihan parti Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dengan bekas Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat berdepan Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Naib Presiden Gan Ping Sieu.
Ketika menyuarakan keyakinan masing-masing dalam saingan itu, ketiga-tiga pemimpin berkenaan yang berpengalaman luas dalam politik nasional berkata, mereka berkebolehan menyegarkan semula parti untuk keluar daripada kesukaran dan menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan penuh keyakinan.
Mereka turut menggesa agar pemilihan jawatan itu berlangsung secara bersih dan lancar.
Proses penamaan calon bagi semua jawatan tertinggi parti, Pemuda, Wanita dan Ahli Jawatankuasa Pusat berlangsung dari 1 tengah hari hingga 5 petang, dengan lebih 1,000 penyokong berkumpul di ibu pejabat parti, lengkap dengan kain rentang dan berbaju-T merah untuk meraih serta menzahirkan sokongan kepada pemimpin masing-masing.
Bagi jawatan timbalan presiden, bekas Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong berdepan pertarungan satu lawan satu dengan Naib Presiden Datuk Donald Lim Siang Chai.
Ka Siong, Ahli Parlimen Ayer Hitam selama tiga penggal, merupakan gandingan Tiong Lai, manakala Siang Chai dikatakan bersepakat dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Sembilan calon bertanding bagi mengisi empat jawatan naib presiden iaitu Setiausaha Agung, Datuk Seri Kong Cho Ha, Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Hou Kok Chung, bekas Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, ahli Jawatankuasa Pusat, Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chong Itt Chew, Lee Wei Kiat; Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng, Ketua Biro Profesional Pemuda, Datuk Chua Tee Yong dan Adun Gurun, Dr Leong Yong Kong.
Sementara itu, 58 calon bertanding bagi 25 tempat dalam Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu termasuk 15 orang mempertahankan jawatan, antaranya Datuk Toh Chin Yaw, Datuk Gan Tian Loo, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Loh Seng Kok, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Koh Nai Kwong, Dr Por Choo Chor, Tan Ken Ten, Datuk Paul Kong Sing Chu; Yoo Wei How, Wong Koon Mun, Datuk Ti Lian Ker, Chuah Poh Khiang dan Datuk Edward Khoo Keok Hai, serta tiga anggota CC yang dilantik pada penggal lepas iaitu Datuk Mah Hang Soon, Datuk Ei Kim Hock dan Datuk Tan Chin Meng.
Antara muka baharu yang dijangka memberikan tentangan sengit ialah Ketua MCA Bahagian Bukit Bintang, Frankie Gan Joon Zin, Ketua MCA Bahagian Sepang, Ng Chok Sin dan Ketua MCA cawangan Bukit Jalil, Datuk Chew Yin Keen.
Sementara Jawatan Ketua Pemuda menyaksikan pertandingan satu lawan melibatkan Ketua Biro Pendidikan Pemuda, Chong Sin Woon dan Ketua Pemuda Bahagian Batu, Datuk Goh Gaik Meng.
Begitu juga bagi jawatan Ketua Wanita membabitkan saingan antara Naib Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Saie Kie dan Ketua Penerangan BN Pulau Pinang Tan Cheng Liang.
Kedua-dua sayap itu bakal memilih ketua baharu setelah Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datuk Yu Chok Tow mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu.
Jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula akan ditandingi oleh Ketua Pemuda Perak, Ting Tai Fook dan Ketua Pemuda Bahagian Bakri Chris Lee Ching Yong.
Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Wanita dimenangi Ketua Wanita Negeri Sembilan, Datuk Lee Pit Chern tanpa bertanding setelah tiada calon menawarkan diri untuk merebut jawatan itu.
Sejumlah 2,385 perwakilan akan mengundi untuk memilih kepimpinan Pemuda MCA pada Khamis, Wanita (Jumaat) dan barisan kepimpinan utama MCA Sabtu ini, disusuli persidangan agung parti pada Ahad. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan