KEADILAN DAILY
Sehubungan itu, usaha menarik pelancong dari negara Brunei dan dalam negeri untuk singgah di Limbang akan dipertingkatkan,
LIMBANG: Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei yang mula dibuka hari ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan sekitar.
Anggota Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata antara sektor yang boleh diberi tumpuan menerusi pembinaan Jambatan Persahabatan itu adalah berkaitan pelancongan.
Sehubungan itu, usaha menarik pelancong dari negara Brunei dan dalam negeri untuk singgah di Limbang akan dipertingkatkan, katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Beliau berkata Limbang turut mempunyai tarikan pelancongan dari segi alam semula jadinya antara menjadi laluan ke Gua Mulu menggunakan Head Hunter Trail.
“Tumpuan akan diberikan untuk menarik pelancong singgah di Limbang yang memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri serta persekutuan untuk membangunkan pelancongan di Limbang,” katanya.
Berhubung pembinaan jambatan itu, Hasbi berkata kemudahan itu sudah lama dinantikan penduduk kedua-dua negara khususnya yang menggunakan laluan di antara Limbang, Sarawak dan Temburong, Brunei.
Katanya ia mengatasi masalah yang dihadapi pengguna yang selama ini terpaksa beratur lebih lima jam untuk menaiki feri menyeberangi sungai Pandaruan, yang mengambil masa kurang lima minit untuk tiba ke destinasi.
Beliau berkata pembinaan jambatan itu juga akan memudahkan pergerakan dari Sabah ke Kuching iaitu sebahagian pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
Hasbi berkata lebih penting, pembinaan jambatan itu juga hasil komitmen pemimpin kedua-dua negara iaitu menzahirkan komitmen, kerjasama dan persahabatan yang dijalin selama ini.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan