Calon presiden MCA, Datuk Gan Ping Sieu mengumumkan manifestonya hari ini, yang disifatkannya sebagai satu perancangan untuk melancarkan perubahan dalam parti politik kaum Cina itu.
Tanpa menyebut sebarang nama, Gan dalam ucapannya berkata beliau mahu perwakilan memilih sama ada seorang yang tegas atau pemimpin yang 'flip-flop' dalam isu-isu nasional.
"Adakah kita mahu seorang presiden yang berpendirian tegas atau presiden yang 'flip-flop'? Adakah kita mahu seorang pemimpin yang mempunyai pendirian yang jelas atau seorang presiden yang tidak mampu pun bercakap dengan jelas?" soalnya.
Gan (kiri) melancarkan manifestonya di hadapan 300 penyokongnya, yang menyambut ucapanya dengan sorakan dan tepukan sepanjang acara tersebut.
Penyandang naib presiden itu berharap perwakilan bukan sahaja akan memilih ketua parti, tetapi juga seorang pemimpin yang boleh menerajuinya menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ditanya sama ada beliau telah menujukan ucapannya itu terhadap lawannya Datuk Seri Liow Tiong Lai, Gan dengan keras menafikannya.
Gan, Liow dan bekas presiden parti itu, Datuk Seri Ong Tee Keat yang bertembung dalam perebutan jawatan presiden MCA.
Bergabung tenaga dengan Donald Lim
Gan, yang juga timbalan menteri belia dan sukan, secara terbuka mempelawa Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim untuk bergabung tenaga dengan kumpulannya dalam menghadapi pemilihan parti kali ini.
Pelawaan itu mendapat sokongan penyokongnya yang hadir.
Lim yang telah mengumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden, bangun sambil melambai tangan kepada hadirin sebagai tanda bersetuju.
Lim, ketika ditemui wartawan kemudiannya, berkata beliau dengan gembira menerima pelawaan Gan itu.
Dengan Gan dan Lim secara rasmi bekerjasama, maka mereka akan berdepan dengan pasangan Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang bertanding jawatan No 1 parti itu, yang bergabung tenaga dengan Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong yang bertanding jawatan timbalan presiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan