KUALA LUMPUR: Dengan segala kenaikan harga barang dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2015, jelas falsafah pemerintahan BN adalah ‘kroni dibantu, rakyat dibeban’.
Berucap pada majlis pelancaran kempen ‘Faham GST, Tolak GST’ di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam, Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming berkata, kenaikan dan pelaksanaan GST hanya akan menambah kekayaan kroni BN.
“Sebagai contoh, kerajaan kurangkan subsidi gula sebanyak 34 sen, tapi pada masa sama hanya beri dua syarikat untuk kawal pasaran gula, salah satunya milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari.
“Saya tanya (Perdana Menteri) Najib, kenapa tidak perluaskan pasaran gula, tingkatkan persaingan agar harganya boleh diturunkan. Dia tak mahu buat kerana nak bantu kroni, bebankan rakyat,” katanya.
Katanya lagi, pengumuman kenaikan tarif elektrik baru-baru ini juga akan meningkatkan keuntungan pemegang-pemegang saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta syarikat yang terlibat dalam pembekalan tenaga.
“Ketika ia diumum, harga saham TNB naik melonjak. Semalam, harganya naik (sehingga) RM11.04. Ada yang hadir di sini miliki saham? Yang dapat manfaat hanya orang kaya yang melabur dalam TNB. Pembekal tenaga juga boleh caj harga tinggi untuk bekalan.
“Pada 2015, anggaran keuntungan TNB akan naik sehingga RM5.7 bilion. Yang dapat manfaat adalah pegawai tinggi TNB, dan pemegang saham utama, Khazanah yang dimiliki kerajaan, bukannya rakyat,” katanya.
Kempen ‘Faham GST, Tolak GST’ dilancarkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pimpinan yang turut berucap antaranya adalah Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan AJK Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, serta pemimpin-pemimpin NGO.
Lebih mengecewakan, kata Kian Ming lagi, segala hasil yang diperolehi kerajaan daripada kenaikan itu kemungkinan besar tidak akan sampai kepada rakyat.
“Saya yakin hasil tidak akan disalurkan kepada rakyat. Mereka akan bazirkan dengan beli jam dinding dengan harga RM380, walau pun nilainya hanya RM100. Ini adalah amalan BN dulu, kini dan selama-lamanya,” katanya lagi, merujuk kepada ketirisan yang didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Satu siri jelajah seluruh Malaysia akan diadakan bagi memberi pemahaman kepada rakyat, berhubung cukai yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2015. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan