Rabu, 25 Disember 2013

Bukti KDN sahkan Mat Sabu dambakan pemerintahan prorakyat,



Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Semasa saya masih dalam mood bercuti hujung tahun, sambil bersantai meneroka idea baru  memantapkan Harakah menjelang 2014, banyak pula gangguan yang membingitkan.

Iklim politik tidak pernah reda walaupun PRU13 baru enam bulan berlalu dan negara masih terkejut dengan banjir besar luar biasa di Kuantan dan Kemaman.

Masakan saya boleh berlepas diri daripada serangan besar-besaran Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, bermula atas kapasitinya sebagai Naib Presiden Umno, yang cuba membunuh karektor Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, tidak lama selepas mendapat mandat baru dalam Muktamar PAS ke-59. Manakala Zahid kekal sebagai naib presiden paling popular dalam pemilihan sejurus sebelum itu.

Aksinya di hadapan perwakilan Umno dan jutaan penonton siaran langsung TV seolah-olah mengarahkan (atau mengajar) rakan sejawatnya dalam kabinet, Jamil Khir Baharom supaya menangkap Mat Sabu.

Satu tindakan angkuh (atau daripada satu segi seperti mahu mempermainkan Jamil). Seorang Perdana Menteri pun tidak wajar bertindak demikian kepada anggota kabinetnya.

Dua tiga teman wartawan bertanyakan saya, "benarkah Zahid ada masalah peribadi dengan Mat Sabu?" Mereka agak pelik mengapa menteri yang dilihat celupar dan berlagak samseng itu seperti sengaja mengapi-apikan perseteruan.

"Hairan ya, waktu Najib (Razak) mahu mewujudkan suasana lebih kondusif untuk perbincangan Umno-PAS, Zahid mengisytihar perang kepada orang no. 2 PAS," tambah seorang daripada wartawan tersebut.

Saya mengajukan soalan sama kepada Mat Sabu, walaupun saya sudah tahu jawapannya: "Tak ada masalah personal." Beliau tetap tenang tidak mahu melatah dengan perangkap. Dalam satu pertemuan dengan wartawan online, Mat Sabu sekadar berkata, isu-isu berkaitan Syiah hanya akan dijawabnya di mahkamah.

"Saya tak ada bergaduh personal, saya kalau jumpa mereka (pemimpin Umno) rapat semua termasuk yang paling kuat saya serang dahulu, Tan Sri Muhamad Muhd Taib (bekas Menteri Besar Selangor). Sekarang dia kawan baik. Macam Zahid Hamidi juga, tiada apa-apa personal dengan dia," katanya.

Seorang rakan karib, yang pernah rapat dengan Zahid, mempunyai persepsi lebih tajam: "Aku tak hairan kalau ada tokoh-tokoh Umno yang sedia gedebe berlagak samseng, tapi bagi orang macam Zahid, yang suka mempamerkan dirinya seperti watak beragama, selalu memetik satu dua ayat-ayat Quran, tetapi bertindak di sebaliknya, amat jelik sekali."

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar dalam msomelayu.blogspot.com, ketika mengulas tindakan undang-undang Mat Sabu terhadap Zahid, merakamkan: "Zahid Hamidi harus diajar sama ada di mahkamah atau pun dalam politik. Orang seperti  Zahid tidak boleh dibiarkan dan dimaafi lagi. Perbuatan, tingkah lakunya sudah cukup untuk mengenali siapa dia sosok ini dan banyak kenyataan dan aksinya mencederakan keharmonian orang Melayu."

Tuduhan dan label Syiah memang menjadi-jadi mutakhir ini. Bukan sahaja Mat Sabu, saya sendiri turut terpalit.

Puncanya kerana Harakah dilihat tidak bersedia untuk mengkafirkan Syiah dan beberapa kali turut merakamkan penghargaan tinggi kepada pemimpin Revolusi Islam Iran, Imam Khomeini dan Setiausaha Agung Hizbullah Lubnan, Hasan Nasrallah.

Malah, apabila kami menyiarkan beberapa siri ulasan panjang dan menyeluruh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dengan hujah dan sanggahan konkrit, tetapi dianggap sebagai bersikap lunak kepada Syiah, Harakah juga dipersalahkan.

Saya tertarik dengan kebijaksanaan Tuan Guru menangani isu ini, bagaikan seorang negarawan ulung, melihatnya dalam konteks politik antarabangsa yang cukup matang, dan berupaya mendedahkan perancangan licik kuasa-kuasa Barat untuk memusnahkan negara-negara strategik Timur Tengah.

Ketika rakyat dihadapkan dengan pelbagai isu kenaikan kos hidup yang cukup menekan, terutama menjelang tahun baru, bermula peningkatan harga bahan bakar, rasionalisasi subsidi gula, kadar tarif elektrik dan tol, cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur serta harga barangan asas yang mencanak tinggi, perhatian umum cuba dialihkan kepada persoalan yang mudah membakar sentimen.

Pengalaman saya yang sering berurusan dengan hospital juga mendedahkan kenaikan kos rawatan perubahan begitu memeritkan. Tempoh menunggu yang panjang di hospital kerajaan, selain kekurangan pakar, membuatkan ramai yang terpaksa memilih hospital swasta, apatah lagi yang ditimpa penyakit kronik, seperti kanser. Klinik kerajaan juga tidak menyediakan semua ubatan yang diperlukan. Pesakit terpaksa membeli di luar dengan harga yang tinggi.

Apakah serangan berterusan kepada Mat Sabu bertujuan untuk memusnahkan potensi tokoh mobilisasi rakyat itu daripada memberi tumpuan menggembleng kekuatan akar umbi, yang semakin muak dan jelak dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji pilihan raya? Dipercayai beliau akan menerajui siri demonstrasi besar-besaran, termasuk melibatkan golongan pekerja, selain himpunan Bersih 4.0.

Dalam pada itu, saya baru menyedari hampir semua lebuh raya di sekitar Lembah Klang akan mengalami peningkatan kadar tol bermula 1 Januari depan. Dan untuk laluan ulang-alik saya dari Ampang ke pejabat di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, khabarnya cadangan kadar untuk Lebuhraya Bertingkat Ampang (Akleh) akan meningkat daripada RM1.50 kepada RM2.50, iaitu kenaikan sekitar 67 peratus.

Lebih malang apabila menteri berkaitan, Abd Wahid Omar, meneruskan tradisi pemimpin gred B Umno-BN yang memberi kata dua kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan kadar yang dicadangkan. Sudah hilangkah sentuhan nurani anggota kabinet Najib Razak terhadap penderitaan rakyat?

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli baru-baru ini mendedahkan, tanpa kenaikan kadar tol sekalipun, pemegang konsesi tetap meraih keuntungan berganda.

"Tidak banyak perniagaan di negara ini yang mencapai peratus untung bersih sehinga 61 peratus seperti Plus Berhad. Kos untuk menyenggara lebuh raya hanyalah 6 peratus daripada jumlah kutipan tol," tegasnya.

Lebuhraya Kesas, tambah Rafizi, mencatatkan keuntungan berganda sehingga 121 peratus secara terkumpul di antara tahun kewangan 2008 hingga 2013. Pada masa sama, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya semakin meningkat.

Rupa-rupanya "bisnes tol" ini cukup menguntungkan! Kalau aliran trafik tidak seperti diunjurkan, pemegang konsesi akan diberikan pampasan, 'kan? Malah, dahulu dalam kes tol Jalan Kuching (kes klasik penswastaan lebuh raya yang cukup menguntungkan), tempoh konsesi dipanjangkan dengan alasan untuk melakukan penambahbaikan, seperti membanyakkan lorong, tetapi tidak dilaksanakan.

Terbukti elit Umno-BN memandang mudah dan meremehkan janji dan komitmen yang dilafazkan bagi membeli sokongan berterusan rakyat. Contoh paling nyata, dalam manifesto PRU13, BN menggariskan akujanji secara khusus untuk mengurangkan kadar tol dalam kawasan sekitar Lembah Klang secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Seperti juga kes penggantungan mingguan berita The Heat, yang bercanggah dengan janji-janji keterbukaan dan transformasi politik Najib. Semasa naik takhta menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapan sulungnya, Najib turut membebaskan penggantungan permit Harakah tetapi kini akhbar yang mengkritik perbelanjaan boros beliau dan isterinya menerima padah.

Balik kepada tuduhan rasmi KDN terhadap Mat Sabu, yang menyenaraikan 10 bukti "gred B", melalui sidang akhbar Ketua Setiausaha, Abdul Rahim Mohamad Radzi, 12 Disember.

Banyak pihak meminta Harakah menyiarkan kembali tulisan Mat Sabu bertajuk Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini, yang tersiar dalam sisipan Fikrah, 15 Julai 2008.

Pertama, harus dijelaskan, seperti lazimnya, pihak editor (yakni saya sendiri) yang memilih tajuk kolum Membedah Demokrasi itu, bukannya Mat Sabu.

Artikel separuh halaman itu cuba menggambarkan pemerintahan prorakyat, yang mengambil berat penderitaan dan kesusahan setiap warga, tanpa pilih kasih. Misalnya, semasa Mesir menghadapi krisis ekonomi dan catuan makanan, Nabi Yusuf a.s. memberikan layanan sama kepada keluarganya sendiri.

Keadilan dan kebijaksanaan Nabi Yusuf mengendalikan masalah ekonomi dengan tujuh tahun berjimat cermat membawa kemewahan untuk tujuh tahun berikutnya.

Mat Sabu juga mengemukakan contoh pemerintahan Mao Tse Tung, yang terpaksa membuat catuan makanan di seluruh pelosok China, selepas revolusi 1949. Pemimpin mengikat perut bersama rakyat yang ditimpa krisis makanan. China kemudiannya menapak untuk terus maju.

Contoh ketiga yang ditonjolkan Mat Sabu adalah kejayaan Khomeini berdepan kepungan Amerika Syarikat dan sekutunya, serta regim Arab, termasuk Saddam Hussein yang melancarkan serangan ke atas Iran pada 1980.

Kehidupan Ayatullah yang begitu sederhana, yang tinggal di sebuah rumah teres di utara Tehran, cukup dekat dengan rakyat yang terhimpit. Bagaimanapun, penduduk Iran reda dengan kesulitan yang menimpa disebabkan pemimpin mereka sedia susah bersama.

Tulisan itu turut menyentuh soal kenaikan 40 peratus harga minyak di Malaysia yang membawa kesusahan kepada rakyat. Meskipun Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri menyeru rakyat mengubah cara hidup ke arah kesederhanaan, tetapi ia tidak berkesan disebabkan gaya hidup beliau sendiri. Ditambah pula Laporan Audit Negara yang mendedahkan pembaziran dan penyelewengan di Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib.

"Rakyat tahu bagaimana isteri beliau berbelanja terutama bila berada di luar negara. Dari mana wang begitu banyak dibelanjakan. Bolehkan orang seperti Rosmah menyeru rakyat supaya bersederhana dan ikat perut?

"Jauh sekali seruan Najib dibandingkan dengan Imam Khomeini dan Mao Tze Tung. Amat tidak boleh dibanding langsung dengan catuan ekonomi dan bekalan dibuat oleh Nabi Yusuf semasa menghadapi krisis makanan dan krisis ekonomi," Mat Sabu menutup tulisannya, yang dijadikan bukti oleh KDN.

Bagi saya, Mat Sabu konsisten dalam tulisannya, yang begitu prihatin dengan nasib golongan bawahan dan kepentingan pemerintah yang berjiwa rakyat. Kalau lima tahun lalu beliau tersentuh dengan harga sepinggan nasi kosong RM1.50, baru-baru ini dia mengeluh harganya sudah meningkat sampai RM3.00.

Bukti "gred B" itu sebenarnya lebih menyerlahkan sosok Mat Sabu sebagai pemimpin yang merakyat dan berhasrat tinggi untuk menyediakan Malaysia yang lebih sejahtera, adil dan damai buat setiap warganya.

Dan beliau menghargai kebaikan dari mana saja, tidak kira bersumberkan Khomeini, Mao Tze Tung, apatah lagi teladan unggul para Nabi yang sewajibnya diikuti.

Tiada ulasan: