DETIK DAILY
Menjelang berakhirnya tahun 2013 ini, kita dikejutkan dengan berita demi berita tentang kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, yang sebahagian besarnya kita tidak mempunyai pilihan lain.
Bagi mereka yang berdepan bencana banjir, amat sukar dibayangkan kesusahan yang mereka alami. Mereka ditimpa bencana pada masa persediaan anak-anak hendak bersekolah dan pelbagai keperluan lain sedang dihadapi.
Selepas reda masalah banjir, masalah mangsa-mangsa banjir ini semua belum lagi selesai, kerana mereka akan perlu melakukan pembaikan dan menggantikan barangan yang rosak atau hilang semasa banjir.
Semasa pengumuman belanjawan beberapa bulan lalu, diumum kan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada 2015.
Selepas itu, satu persatu berita kenaikan kos sampai kepada kita, termasuk tarif elektrik, cukai taksiran di Kuala Lumpur, ura-ura kenaikan harga tol dan mungkin ada lagi selepas ini.
Semua berita ini sampai pada masa rakyat sedang pening kepala me mikirkan perbelanjaan hujung tahun seperti persekolahan dan lain-lain, dan sedang bergelut de ngan kos hidup yang sudah sedia tinggi.
Kesan rantaian daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terbabit juga akan sampai kepada pengguna, apabila peniaga-peniaga menaikkan harga.
Harga minyak yang tinggi akan mendorong semua perniagaan, daripada pengangkutan seperti bas dan teksi, kepada barangan makanan harian menaikkan harga dengan alasan kos meningkat.
Rakyat yang sudah sedia mengikat perut akan terpaksa lagi mengurangkan perbelanjaan melibatkan mana-mana yang boleh, tetapi perlu menanggung juga keperitan melibatkan keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti elektrik.
Malah, harga perkhidmatan televisyen Astro yang dibenarkan memonopoli oleh pemerintah Barisan Nasional akan terus naik tanpa ada pesaing lain yang boleh memberi alternatif.
Kesan keputusan-keputusan yang dibuat dulu, terutama semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi perdana menteri kini dirasai oleh segenap lapisan rakyat.
Seperti juga tol dan penjana tenaga bebas (IPP) yang diberikan kepada sekelompok kapitalis yang dijamin keuntungan mereka.
Pihak yang mendapat konsesi tol dahulu kini terus mengaut keuntungan walaupun perkhidmatan di lebuhraya ala kadar, jalan sesak, dan sebagainya.
Begitu juga dengan IPP yang terus mengaut keuntungan pada masa rakyat mengeluh menghadapi kenaikan tarif elektrik.
Lebih menyakitkan hati rakyat, menteri-menteri dan keluarga, kroni-kroni dan terus bermewahmewah dan tidak menunjukkan usaha berkorban untuk kepentingan rakyat.
Hal ini perlu ditangani dengan lebih tegas oleh pemerintah, dan jangan menambahkan kesakitan rakyat dengan nasihat-nasihat yang sekadar mudah diucapkan.
Kerajaan BN telah banyak kali mengumumkan dasar dan program untuk menggerakkan negara menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi masih belum dilihat lagi sebarang hasil yang jelas.
Selain bantuan BR1M yang bukan semua layak menerimanya, program yang konsisten untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat masih tidak ada yang terlaksana dengan sempurna dan mendatangkan kesan.
Dasar membantu Bumiputera juga tidak menampakkan kesungguhan pemerintah BN, apabila Petronas yang sepatutnya berperanan penting itu pun semakin meminggirkan orang Melayu.
Usaha yang jauh lebih kuat dan bersepadu perlu dilakukan, sebelum impian untuk menjadi negara berpendapatan tinggi hanya tinggal impian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan