Rabu, 18 Disember 2013

1Basikal: Jalan penyelesaian

 Izmil Amri

semua naik



KITA semua ada masalah sekarang. Tanpa mengira latar politik, kaum, agama dan usia, semuanya ada masalah. Ya, jerung pun ada masalah. Haiwan lain pun ada masalah. Punya pasal dialah. Masalah kita ini bukan sahaja lebih besar, malah bertimpa-timpa.

Anda tahu apa masalah itu. Ia menghantui anda setiap hari. Setiap kali anda buka dompet dan melihat helaian wang keluar bagai air mengalir, anda dihantui masalah ini. Setiap kali anda melihat gaji anda sudah masuk akaun dan kemudian separuh daripadanya hilang sejam selepas itu, anda seakan mahu bunuh diri akibat daripada masalah ini.

Jangan bunuh diri dulu. Letakkan botol racun itu ke bawah. Kini ada penawar baru untuk masalah anda.

Memperkenalkan 1Basikal.

1basikal

Saya tidak tahu siapa sebenarnya yang bikin poster ini. Tapi ini kerja yang sungguh ‘epic’.

Laman Facebook Roketkini menerima sebanyak 127,872 ‘view’ (setakat ini) bagi paparan itu yang dikongsi petang semalam. Hampir 1,500 pengguna Facebook berkongsi imej terbabit di laman masing-masing.

Sebelum itu pun poster berkenaan sudah dikongsi di beberapa laman Facebook yang lain dan saya kira ia turut menerima respon serupa.

1Basikal adalah jawapan dan penawar paling mujarab buat semua masalah yang tuan puan hadapi hari ini. Kecuali barangkali masalah akidah Syiah atau yang sewaktu dengannya. Masalah itu perlu anda selesaikan sendiri. DAP parti sekular, ia tak mahu masuk campur.

Sudah berminggu isu kenaikan harga tol berlegar di media. Ini tambahan kepada isu kenaikan cukai taksiran yang dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selain isu kenaikan tarif elektrik dan kenaikan kos sara hidup secara am.

Walaupun nampak seolah-olah hanya orang Lembah Kelang yang terkesan dengan semua isu ini, barang diingat bahawa anda yang terperuk di Cerok Tok Kun sana pun terkesan sama. Ini nanti akan ada kesan limpahannya atau disebut orang putih sebagai spillover effect. Jadi kena jaga-jaga.

Apa sebab semua benda ini mesti kena naik harga? Siapa yang miskin dan memerlukan tambahan dana? Kalau kita baca laporan media, Tenaga Nasional Berhad contohnya mencatatkan keuntungan berbilion ringgit. Stafnya juga bakal menerima bonus berganda. Tak mungkin tarif elektrik naik sebab TNB tak ada duit.

Begitu juga dengan kadar tol. Mana pernah kita dengar pengusaha lebuhraya jatuh miskin atau syarikatnya lingkup. Ini kerana bisnes yang diusahakan syarikat lebuhraya adalah bisnes yang tak mungkin rugi. Tambahan kalau hanya itu sahaja laluan yang ada untuk bergerak daripada satu tempat ke tempat yang lain. Contohnya untuk masuk ke Shah Alam, hampir pasti akan terpaksa bayar RM1.10 di tol Batu Tiga. Atau kalau dari Puchong nak ke Bandar Utama, mesti kena bayar tol LDP.

Jawapan menteri kepada permasalahan ini ialah supaya rakyat tidak menggunakan jalan bertol.

Belum ada lagi yang bijak pandai untuk menyuruh rakyat pasang lilin atau hembus diri sendiri kalau tak mahu guna lampu dan alat pendingin hawa sebab takut bil elektrik mencanak naik.

Jawapan sebegini memang dinanti-nantikan orang ramai. Jawapan pendek akal begini adalah punca kepada kemarahan rakyat jelata yang beberapa bulan sudah menyirap dengan jawapan menteri yang satu lagi. Menteri itu kata kalau ayam naik harga, makanlah daging. Barangkali dia tak pernah tahu bahawa orang beli ayam kerana daging mahal. Tak apalah, kalau tidak jahil murakkab itu bukan menteri UMNO namanya.

“Cuba kalau potong gaji menteri. Kalau tak suka, janganlah jadi menteri,” kata orang ramai di internet.

Malah Perdana Menteri pun rasanya masih belum beri respon jelas tentang isu kenaikan harga ini semua. Menterinya yang lain terpaksa ternganga-nganga menjawab kononnya kerajaan tidak ada pilihan lain.

Mujur GST hanya akan dilaksana pada 2015. Masih ada satu tahun untuk tuan-tuan memahami GST dan kemudian membantah GST.

Imej yang tidak diketahui karya siapa ini memperjelas dengan tulus kebangsatan yang melanda negara. Kalau tak mahu bayar tol, naiklah basikal. Gula naik harga, minumlah air tebu. Tapi perahlah sendiri, guna elektrik yang dijana basikal tadi.

Agak-agak kalau putus asa dengan segalanya dan tidak bersetuju dengan saranan tadi; naiklah basikal itu ke sempadan, dan pindah ke negara lain. Atau kalau betul-betul depresi, langgarlah mana-mana lori atau terjun gaung dengan basikal tadi.

Kalau ide ini dijadikan produk rasmi 1Malaysia, agaknya kontraktor mana yang akan dapat tender ‘supply’ basikal? Barangkali nanti ejaannya pun ditukar sekali; jadi ‘BAS1KAL’. – Roketkini.com

Tiada ulasan: