Agensi tanpa permit diserbu  
 
Sebahagian pasport yang dirampas daripada agensi pekerja asing terbabit.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 831 pasport warga asing dirampas dari sebuah agensi pekerja asing yang beroperasi secara haram di Seksyen 1, Wangsa Maju, dekat sini, dalam ‘Ops Serkap' oleh Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya, semalam.

Timbalan Penolong Pengarahnya, Nik Shahanizam Ahmad berkata, agensi itu berselindung menggunakan nama sebuah koperasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebanyakan pasport warga asing yang dirampas telah tamat antara tempoh 2008 hingga 2011.

“Sebahagian besar  pasport adalah milik warga Indonesia manakala yang lain terdiri dari warga Vietnam, Pakistan, Thailand, India dan Bangladesh,” katanya.

Shahanizam berkata, pihaknya turut merampas sebuah komputer dan sejumlah buku resit pembayaran.

“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun  yang mengaku bekerja sebagai juruaudit koperasi ditahan bagi membantu siasatan selepas agensi berkenaan didapati tidak mempunyai kelulusan untuk berurusan dengan Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Difahamkan agensi berkenaan mengenakan sejumlah bayaran kepada setiap pekerja asing yang memohon untuk melanjutkan tempoh pas  lawatan mereka.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Pasport 1966 manakala lelaki yang ditahan di bawah Seksyen  51(5)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).