ASPAN ALIAS
Negara menghadapi kekeliruan
dalam semua hal. Dalam masa yang sama kita bergegar-gegar bercakap untuk menjadi
negara maju. Apa yang dimaksudkan sebagai negara maju tidak pula kita ketahui.
Tetapi kalau dipandang dari satu sudut, negara mahu kepada mereka ini ialah
sebuah negara yang mempunyai bangunan yang tinggi-tinggi, tiang bendera yang
tertinggi didunia dan jambatan yang panjang-panjang. Ia juga termasuk gong yang
terbesar yang pernah tersergam di Angkasapuri pada suatu ketika dahulu.
Kepada setengah pihak dan
kepimpinan, bangunan pusat pentadbiran yang terbesar dalam dunia. Putrajaya
merupakan kejayaan nasional. Putrajaya merupakan komplek yang sedikit kecil
dari komplek pentadbiran kerajaan di Abuja, Nigeria, di
sebuah negara Afrika yang kini telah menjadikan negara itu hampir kekeringan
kewangannya kerana menyelenggara pusat pentadbiran itu.
‘Nation building’ itu mungkin
juga dengan mengadakan jalan dan lebuhraya yang indah dan cantik serta
mengadakan infrastruktur yang kelas pertama dalam dunia dan pemimpin-pemimpin nya
yang kaya raya dengan jet-jet peribadi dan perkara yang setaraf dengannya. Bagi
setengah diantara mereka jika sudah mendapat kemajuan seperti itu maka itulah
kejayaan sebagai pembawa pembangunan apa yang dinamakan sebagai ‘nation building’.
Tidak pernah terfikir oleh
kerajaan yang memimpin bahawa pembangunan negara itu merupakan ruang lingkup
yang sangat besar, dan bukan setakat melihat pembangunan fisikal yang boleh
dipandang dan dipegang sahaja. Pembangunan fisikal ini merupakan satu elemen
yang ‘fractional’ sahaja dalam definasi ‘nation building’ itu. Tetapi itulah
yang dianggap oleh kepimpinan kita dan mereka yang bersekongkol dengan mereka
sebagai definasi ‘nation building’ itu.
Maka wujud lah rakyat yang
berlumba-lumba mencari kekayaan sebagai tanda aras tahap sosial mereka yang
tidak ada batasnya sehinggakan dari seorang kampung yang sederhana, wujud sikap
berlumba-lumba terbang kesana kemari dengan jet-jet eksekutif misalnya, tetapi
tidak pula menilai moral tindakan mereka itu. Mereka ini hanya dilihat sebagai
seorang ‘maharajah’ setelah mempunyai pengaruh dalam politik melalui persahabatan
secara kroni atau melalui perkahwinan dua insan yang berpengaruh dengan kuasa.
Bagi pemimpin yang sudah tersedia
sebagai seorang dari keluarga yang tahap sosialnya tinggi, tidak akan tergamak
melakukan tindakan yang menjadi bahan jenaka kepada masyarakat ramai yang
memerhatikannya. Mereka yang sudah tersedia hidup dari kecilnya sebagai
bangsawan yang asli, tidak akan melakukan tindakan yang menjolok mata rakyat
kerana mereka selalunya hidup secara sederhana dan kehidupan mereka adalah ‘natural’
sebagai orang yang bertahap sosialnya tinggi dari zaman mudanya.
Di sini kerajaan dan pimpinan
gagal samasekali untuk membina masyarakat yang seimbang kehidupan mereka kerana
mereka menyangka dan berpendapat mereka adalah pilihan Tuhan yang boleh
bersikap apa sahaja caranya. Mereka menganggap membangunkan negara hanya dengan
memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang sejemput setiap kali pemberian yang
di buat. Dalam pada itu wujud projek yang tidak di perlukan tetapi
projek-projek ini semuanya adalah ‘crony motivated projects’ yang menjadi cara
rasuah yang dilakukan secara sistematik sejak lama dahulu.
Mereka mentadbir negara seperti
orang menampal kain koyak dan berlubang-lubang. Di mana berlubang di situ ditampal.
Mana yang putus di situ disambungnya. Mereka hanya memberikan ubat tahan sakit,
tetapi penyakitnya tidak diubati. Penyakit-penyakitnya sampai kehari ini masih
terbiar dan mereka tidak pun tahu apa penyakit yang dihadapi rakyat yang ramai.
Apabila telinga yang sakit diberinya
panadol, bila mata rasa sakit diberikan kita dua butir panadol, begitu juga
apabila kita menghadapi sakit tengkuk, tiada yang lain selain dari memberikan
panadol. Tetapi penyakit darah tinggi yang dihidapi mereka yang menyebabkan
sakit di telinga, dimata dan di tengkuk itu tidak diubati.
BRIM diberikan sedikit-sedikit,
apabila hendak sampai hari raya diberikannya duit raya sejemput dan apabila
sampai kepenghujung tahun diberikannya seratus ringgit untuk menambah bantuan
membeli buku. Tetapi kemiskinan rakyat tidak terurus sampai ke hari ini. Rakyat
sentiasa dijadikan sebagai umpan untuk menambah kekuasaaan mereka.
Pemimpin tidak tahu membezakan diantara
sakit dengan penyakit. Negara yang kayaraya tidak dapat membantu rakyat dengan
kesusahan mereka Negara kita negara
pengeluar minyak yang termaju, tetapi hasil syarikat minyak negara diperguna
oleh keluarga pemimpin tertentu untuk mengaut segala hasilnya sedangkan penubuhan
syarikat minyak nasional itu tidak lain untuk membangunkan ekonomi rakyat yang
ramai.
Negara-negara maju seperti negara
Scandinavia tidak ada minyak dan apa-apa hasil
bumi, tetapi pendapatan per kapita mereka melebihi per kapita pendapatan negara
maju G8. Di negara tersebut tidak kita kenal pun siapa pemimpin mereka di
peringkat antarabangsa, tetapi di sini pemimpin-pemimpin kita leka dengan
pujian seperti pemimpin dunia ketiga dan entah apa lagi.
Malahan keluarga seperti isteri
dan anak-anak mereka memperguna wang rakyat untuk kesoronokan dan kebanggaan
peribadi. Bukan sahaja pemimpin kita dikenali, isteri mereka pun terkenal
seantero dunia. Pemimpin kita leka dengan ‘glamour’ dan itulah dia bukti
kegagalan kita untuk membina mentaliti rakyat bersesuaian dengan kemajuan dunia
ini.
Mentaliti ini seolah-olah sama
seperti mentaliti rakyat negara-negara Afrika maka tidak terkejut ada
cendiakawan negara ini menganggapkan Malaysia
seperti ‘Zimbabwe
in different name’ suatu ketika dahulu.
Entah bila kita akan sampai
ketahap pemikiran dan penilaian rakyat negara maju tidak siapa dapat
mengagaknya. Yang pasti jika masih lagi ‘set’ pimpinan yang ada pada hari ini
sampai bila-bila kita tidak akan sampai ketahap negara maju. Kita hiduplah
dengan budaya songsong seperti yang kita semua lalui pada hari ini.
Itu sebab retorik Najib dan
kepimpinan negara bercakap tentang matlamat pencapaian negara maju menjelang
2020 itu hanyalah merupakan mimpi di siang hari dan kita tidak akan
kemana-mana. Kita akan tetap duduk dan tinggal ditahap ini sampai semua pimpinan
yang ada hari ini dapat diketepikan.
Kalau dilihat pada keadaan hari
ini ia amat susah hendak dilakukan kerana rakyat ramai termasuk ahli-ahlu parti
politik negara amat seronok memberikan sokongan kepada pemimpin yang menipu
mereka yang tidak mempunyai apa-apa kemampuan.
Ada perbilangan orang Melayu, ‘bukan salah
ibu mengandung’ tetapi mereka sengaja hendak dan bersoronok hidup dalam
penipuan pimpinan terhadap mereka.
No comments:
Post a Comment