Tulisan
ini saya tulis berdasarkan kepercayaan teguh, bahawa PAS adalah Parti
masa depan, yang berkuasa dalam menentukan halatuju Politik Malaysia.
Perkembangan yang berlaku dalam Muktamar PAS baru-baru ini memberi
isyarat jelas bahawa seluruh ahli PAS mahu melihat lonjakan di lapangan
kerja kepemudaan.
MENGENAL POTENSI PEMUDA
Bercakap
soal potensi Pemuda PAS Malaysia, saya kira semua orang sangat
mengenali kekuatan yang dimiliki sayap terpenting PAS ini. Dengan
susunan rekrutmen yang kemas, program-program tarbiah yang teratur,
serta kerja buat akar umbi yang efisyen, menjadikan Pemuda PAS sentiasa
memiliki generasi pelapis kepimpinan yang berkualiti.
Saya
kira sudah banyak nama-nama anak muda dalam PAS yang mempamerkan
potensi yang boleh dibanggakan. Pemuda PAS sudah miliki penganalisis
politik muda seperti saudara Hasbie Muda, Pemuda PAS juga memiliki
barisan Peguam Muda melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
(JUHAM), Pemuda PAS juga memiliki tokoh ekonomi muda seperti saudara
Syahir Sulaiman, Pemuda PAS juga ada dua tokoh Pemuda yang diberi
kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka di Parlimen.
Namun,
polemik mengenai Pemuda PAS yang dilihat terpinggir dalam isu-isu
nasional terus menjadi topik perbincangan sejak kebelakangan ini. Saya
kira, polemik ini berlanjutan kerana Pemuda PAS tewas dengan sentimen
yang membandingkan kepimpinan Pemuda PAS dengan ikon Pemuda yang lain
seperti Rafizi Ramli, Khairy Jamaluddin, atau Pemuda-pemuda dari Parti
lain.
HEBAT SANGATKAH RAFIZI?
Kita
perlu akui yang sememangnya Rafizi Ramli merupakan Ikon Idea Baru untuk
Malaysia. Tetapi, pada pandangan saya, Pemuda PAS sebenarnya tidak
perlu ‘Stuck” atau terperangkap dalam sentimen “Ingin bersaing dengan
Rafizi”. Terlalu banyak potensi lain yang ada di dalam Pemuda PAS yang
boleh digarap untuk melonjakkan nama Pemuda PAS jauh kehadapan.
Bahkan
sekiranya dilihat dengan mata kasar, Pemuda PAS sebenarnya memiliki
terlalu banyak kelebihan berbanding organisasi pemuda yang lain. Jika
dilihat dari segi tenaga kepimpinan secara kolektif, Pemuda PAS memiliki
banyak wajah pemimpin muda yang belum diketengahkan. Lebih unik,
kepimpinan Pemuda dalam PAS ini lahir hasil daripada sistem tarbiah PAS
sendiri.
Jika
dilihat pula dari segi kekuatan ahli, Pemuda PAS jauh dihadapan
berbanding sayap pemuda parti-parti lain. Malah kekuatan itu sering
ditumpang oleh parti-parti lain semasa Pilihanraya Umum. Tidak
keterlaluan jika saya katakan, tanpa kekuatan ahli PAS, PKR mungkin akan
lumpuh di beberapa kawasan semasa PRU 13 yang lepas.
Bukan
setakat ahli yang ramai, Pemuda PAS juga memiliki ahli yang setia.
Lihat sahaja program-program PAS seperti Ijtimak Tarbawi yang
dianjurkan di beberapa buah negeri, ribuan ahli PAS turun untuk
mendengar amanat pemimpin parti. Begitu juga dengan himpunan-himpunan
mega yang pernah berlangsung seperti BERSIH 3.0, sekiranya tidak ada
arahan daripada pemimpin PAS terhadap ahlinya untuk turun ke himpunan
tersebut, saya kira BERSIH akan kehilangan 40 % daripada jumlah
pesertanya. BERSIH 3.0 contohnya, PAS Terengganu telah mengerah lebih 20
ribu ahlinya turun ke himpunan tersebut.
JANGAN BAZIRKAN POTENSI
Maka,
saya tidak faham, mengapa dengan kelebihan yang ada, Pemuda PAS masih
dilihat tenggelam. Saya suka mengambil contoh CheguBard daripada
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Walaupun beliau daripada PKR,
namun beliau membina kekuatan tersendiri yang menyebabkan beliau tidak
tenggelam disamping pengaruh yang dibina Rafizi Ramli.
Sebut sahaja Roadshow seluruh Malaysia, pasti orang akan menyebut CheguBard sebagai the best.
Sehinggakan perjuangan Badan Bertindak Bantah TPPA juga menggunakan
khidmat CheguBard untuk memobilisasi isu tersebut ke seluruh Negara.
Begitu juga dengan aksi di jalanraya, keberadaan CheguBard akan dirasai
semua orang ekoran kemahiran beliau mengendalikan demonstrasi rakyat.
CheguBard
juga berjaya membina jaringan anak muda di bawah nama SAMM sehingga
mempunyai cawangan di seluruh Negara. Bahkan jaringan ini bagi saya
lebih hebat berbanding jaringan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sendiri.
Maka
saya melihat, CheguBard telah berjaya membina reputasi tersendiri tanpa
perlu terikat dengan sentimen ingin bersaing dengan individu tertentu.
Saya percaya apa yang diterobosi oleh CheguBard, sukar untuk dilakukan
orang lain termasuk Rafizi Ramli.
Dengan
memberi contoh CheguBard, saya tidak bermaksud Pemuda PAS perlu menjadi
panglima di jalanraya. Apa yang cuba saya sampaikan ialah, Pemuda PAS
perlu memaksimakan penggunaan segala potensi yang ada.
BERANI TAMPILKAN MUKA BARU
Dengan
potensi yang ada, saya kira Pemuda PAS boleh melangkah melangkau Rafizi
dan CheguBard. Apa yang perlu ialah, Pemuda PAS perlulah memberi
kepercayaan kepada kepimpinan Muda untuk tampil kehadapan. Tidak semua
isu negara perlu ditanggung oleh Ketua Pemuda. Jika isu Felda, PAS
meletakkan Mazlan Aliman sebagi pejuangnya, maka Pemuda PAS perlu berani
melantik nahkoda-nahkoda muda untuk menerajui isu-isu yang banyak dalam
Negara ini.
Shazni
Munir misalnya, Ketua Pemuda PAS kawasan Sekijang Johor, selaku mantan
pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), saya kira beliau cukup
kompeten untuk memimpin isu-isu yang melibatkan polisi Negara seperti
GST dan TPPA. Persoalannya ialah, samada Pemuda PAS mahu memberi
kepercayaan atau tidak?
Maka
saya kira Saudara Suhaizan Kayat perlu mengerah semula segenap potensi
yang ada untuk meletakkan Pemuda PAS pada posisi yang sepatutnya.
Kebelakangan ini, ramai tertanya-tanya apakah pembawaan sebenar Pemuda
PAS?, Pemuda PAS tidak menjuarai perjuangan di Jalanraya, Pemuda PAS
juga tidak menjuarai persaingan idea, Pemuda PAS juga tidak menjuarai
persaingan di dalam Parlimen. Bahkan dikeruhkan lagi dengan isu seperti
pertembungan Kerusi PRU13 Kota Damansara dan Sungai Acheh. Akhirnya,
untuk tiga tahun yang lepas, Pemuda PAS dilihat sebagai liabiliti kepada
PAS.
TERAJUI HAK ASASI ISLAM MELALUI JENDELA DEMOKRASI
Saya
kira, saudara Suhaizan Kayat juga perlu menimbangkan untuk membuka
lembaran perjuangan Hak Asasi dalam diari Pemuda PAS. Dalam arus global
yang semakin rancak membincangkan soal Hak Asasi Manusia, Pemuda PAS
perlu hadir dengan idea baru untuk membincangkan konsep hak asasi secara
konstruktif.
Sebelum
ini, Pemuda PAS tampil garang dengan mengecam tuntutan Coalition of
Malaysian NGO (COMANGO) yang ingin pengiktirafan hak LGBT dan beberapa
tuntutan lain yang dilihat bercanggah dengan Islam. Namun pembantaian
terhadap tuntutan NGO itu tidak diselangi dengan langkah penyelesaian
yang tuntas. Akhirnya Pemuda PAS hanya mencipta ketegangan yang tidak
langsung memberi imej positif kepada Pemuda PAS sebagai organisasi
Politik dan Dakwah.
Pemuda
PAS perlu tampil sebagai sebuah organisasi penyelesai yang mampu
menaungi perbezaan dalam kalangan masyarakat. Apakah mustahil untuk
Pemuda PAS menganjurkan sebuah Persidangan Hak Asasi di peringkat
nasional dengan menjemput semua organisasi berkepentingan bagi
membincangkan prinsip Hak Asasi Manusia dari kaca mata masyarakat
Malaysia. Walaupun tugas ini sepatutnya dimainkan oleh JAKIM, tetapi
tidak salah untuk Pemuda PAS mendahului JAKIM.
Melalui
Persidangan ini, Pemuda PAS bukan sahaja dapat membina kesepakatan
mengenai perjuangan Hak Asasi di Malaysia, bahkan Pemuda PAS dapat
menyelami rialiti masyarakat Malaysia yang selama ini terpinggir
sehinggalah suara mereka diketengahkan oleh COMANGO, seterusnya
mencadangkan jalan penyelesaian yang boleh disenangi semua pihak.
JADIKAN BORNEO PRIORITI
Jika
berbicara soal dakwah, Sabah dan Sarawak adalah medannya. Sangat rugi
jika potensi ilmuan yang ada dalam kepimpinan Pemuda PAS tidak
dimaksimakan untuk penyebaran pengaruh Pemuda PAS di Sabah dan Sarawak.
Pengalaman
24 tahun di Sabah termasuk 4 tahun di Labuan, saya sangat faham betapa
perjuangan PAS di bumi borneo berhadapan dengan limitasi tenaga
pendakwah dan pejuang. Dengan muka bumi dua negeri ini yang menyamai
keseluruhan semenanjung Malaysia, sememangnya kerja-kerja parti
memerlukan keazaman yang tinggi.
Saya
masih ingat rutin perjuangan mantan Ketua Pemuda PAS Sabah Cikgu Anuar
Ali, yang sering mengembara dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau.
Kadang-kadang beliau melajakkan perjalanan ke Labuan walaupun Labuan
bukan berada di bawah tanggungjawab PAS Sabah. Perjalanan dari Kota
Kinabalu ke Sandakan mengambil masa tujuh jam. Perjalanan dari Kota
Kinabalu ke Tawau pula mengambil masa 9 jam. Perjalanan dari Kota
Kinabalu ke Labuan mengambil masa 3 jam.
Rutin
ini perlu beliau lalui kerana kekurangan tenaga penggerak di Sabah.
Oleh itu, saya mencadangkan kepada saudara Suhaizan Kayat untuk
mewujudkan sistem Kawasan Angkat bagi setiap Ajk Pemuda PAS Pusat. Ulama
Muda dalam PAS boleh menjadi pemudah cara kepada usaha dakwah di Sabah
dan Sarawak. Sebagai contohnya, saudara Suhaizan Kayat sendiri boleh
mengambil kawasan Menumbok di Sabah sebagai kawasan angkat. Begitu juga
dengan Ajk Pemuda yang lain dengan kawasan angkat masing-masing.
Langkah
ini bukan sekadar mampu menyemarakkan usaha dakwah Pemuda PAS, tetapi
juga membina kebangkitan rakyat Sabah untuk memperjuangkan hak mereka
yang telah lama diseleweng oleh Kerajaan Barisan Nasional.
MAJULAH PEMUDA PAS UNTUK MALAYSIA
Sekiranya
ditanya kepada saya, apakah perkara yang perlu dilakukan oleh Suhaizan
Kayat dalam masa tiga minggu selepas dipilih menjadi Ketua Pemuda PAS
yang baru, maka saya akan katakan, Jumpalah rakan-rakan aktivis di luar
kerangka PAS, terutamanya aktivis anak muda, dengar pandangan mereka.
Saya
amat mengharapkan, saudara Suhaizan Kayat dapat menghimpunkan aktivis
anak muda yang begitu ramai diluar sana. Selain nama-nama organisasi
pemuda yang terkenal seperti SAMM, PKPIM, GAMIS dan sebagainya, masih
ada nama kumpulan anak muda yang berjuang dengan cara mereka sendiri
seperti Angkatan Pembebasan Bangsa Merdeka (APBM), Geng Kotak, Dapur
Jalanan Kuala Lumpur dan pelbagai lagi kumpulan anak muda yang
bercita-citakan perubahan.
Menghimpunkan
mereka bukan bermakna memaksa mereka bersetuju dengan cara Pemuda PAS,
tetapi lebih penting mencipta kebersamaan yang selama ini dibazirkan.
Kebersamaan ini boleh menjadi sumber idea kepada Pemuda PAS. Kebersamaan
ini juga penting untuk menyatukan momentum bagi menumbangkan rejim yang
masih berkuasa.
Akhir
sekali, dengan kekuatan Pemuda PAS Pusat yang baru ini, saya ingin
menjadi orang pertama yang mengucapkan selamat tinggal kepada Barisan
Nasional walaupun PRU14 masih jauh dihadapan.
Penulis
adalah Mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS 2009-2010, Mantan
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia 2010-2011. Sekarang bertugas
sebagai Penyelaras Hak Untuk Dibicarakan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
No comments:
Post a Comment