Thursday, November 28, 2013

RAKYAT SABAH HARUS REDHA 'KATAK-KATAK' ITU DITERNAK OLEH BN

AKU sedikit pun tidak terkejut jika terlalu banyak 'katak' di Sabah.  Isu terbaru 11 Ketua Cabang PKR dan orang-orangnya telah istihar keluar parti, sedikit pun tidak mengejutkan kerana di Sabah bab kehebatan melompat ini memang tidak boleh ditandingi sebelum PKR bertapak di Sabah lagi. 

Pemimpin PBS sendiri mesti setuju dengan pendapat aku, bahkan parti awal yang hebat seperti USNO pun sudah lali dengan spesis katak ini.  Aku boleh terima ada di antara mereka yang melompat keluar PKR itu menyalahkan sikap campurtangan beberapa pimpinan PKR Pusat yang keterlaluan di negeri tersebut kerana bukan saja di Sabah, di negeri-negeri Semenanjung pun ada pimpinan Pusat yang cuba menjadi Pengarah mencatur orang-orangnya termasuk untuk menjadi calun Pilihanraya.  Itu memang aku akui. 

Aku hampir percaya tindakan mereka itu adalah kerana sikap tidak betul beberapa pimpinan Pusat, tetapi apabila mereka mengambil keputusan untuk keluar parti dan menyokong Bn iaitu kerajaan 47% ini, kepercayaan aku langsung hilang terhadap alasan mereka.  Kini aku lebih yakin mereka melompat keluar kerana mereka tidak tahan mengalami kesukaran perjuangan, dan mereka mahu hidup lebih senang dan berjuang dengan mudah di bawah kerajaan yang majoriti rakyat telah pun tolak itu.  Aku tidak tuduh mereka diberi imbuhan untuk keluar parti, tetapi jika ada yang mendakwa sedemikian aku tidak sukar untuk bersetuju dengan pendapat mereka.

Kita tidak pelik rakyat Sabah semenjak dulu hingga sekarang masih ditakuk lama kerana perangai orang-orang politik mereka yang seolah-olah 'badi katak' turun temurun.  Rakyat Sabah harus ubah tabiat ini.  Kita di Semenanjung tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengubah tabiat pelik orang-orang politik di Sabah yang suka melihat rakyat Sabah terus diperkudakan asalkan mereka senang lenang.  Apa pun ini tidak bererti PKR mesti berputus asa di Sabah.  Tidak semua rakyat Sabah murah harga diri.  PKR mesti terus mencari pemimpin Sabah dari akar umbi yang telah sekian lama teruji dengan kesusahan perjuangan.  Jangan pilih yang sudah biasa senang untuk dilantik sebagai pemimpin walaupun mereka berpendidikan tinggi atau berpengalaman politik kerana orang seperti ini tidak boleh merasai kesusahan.

Ini bukan bermakna kita mesti pilih orang miskin sebagai pemimpin.  Ada juga orang miskin yang tiada harga maruahnya.  Orang miskin yang sanggup jual maruah diri demi perut pun melambak di Sabah.  Terpulanglah kepada rakyat Sabah pemimpin bagaimana yang mereka harapkan untuk membawa perjuangan PKR bagi mengubah nasib rakyat Sabah.  Rakyat Sabah perlu melihat Selangor atau P.Pinang di bawah PR.  Tidakkah mereka mahu Sabah menjadi seperti kedua-dua negeri itu?  Jika mahu, redhakan saja katak-katak itu diternak oleh Umno/Bn, kita terus melangkah ke hadapan.

No comments: