Thursday, November 28, 2013

Naik cukai pintu 300% bersifat balas dendam

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan membantah keras kenaikan cukai pintu 300 peratus oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara mendadak dan tidak masuk akal.

Penyelarasnya, Azmir Mustafa berkata, kehidupan warga kota penuh kesempitan, ditambah pula dengan kenaikan harga petrol, harga barang-barang keperluan harian, namun kerajaan terus menghukum rakyat yang menolak BN.

Ujarnya, SAMM menyifatkan tindakan itu sebagai siri balas dendam terhadap warga Kuala Lumpur kerana hampir semua Parlimen kekal di tangan Pakatan Rakyat sedangkan kerajaan ‘melabur’ dengan jumlah yang besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Kenyataan penuh di bawah.

Belum pun lagi mencapai tempoh setahun dalam pembentukan kerajaan Malaysia selepas Pilihan raya Umum ke-13, warga Kuala Lumpur telah dikejutkan dengan satu lagi ‘bala’ yang diberikan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional, iaitu dengan kenaikan cukai pintu sebanyak 300 peratus.

Solidariti Anak Muda Malaysia Wilayah Persekutuan (SAMM Wilayah) membantah sekeras-kerasnya akan kenaikan cukai ini secara mendadak dan tidak masuk akal.

Warga kota hidupnya penuh kesempitan, ditambah pula dengan kenaikan harga petrol, kenaikan harga barang-barang keperluan harian, namun kerajaan terus menghukum rakyat yang menolak mereka.

SAMM menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan cukai pintu sebanyak 300 peratus adalah satu siri balas dendam terhadap warga Kuala Lumpur kerana hampir semua parlimen kekal di tangan pembangkang sedangkan kerajaan telah ‘melabur’ dengan jumlah yang besar menjelang PRU13.

Adalah diingatkan bahawa pihak Datuk Bandar dan DBKL tidak wajar sewenang-wenangnya menaikkan cukai pintu.

Apakah benar ia rasional hanya kerana untuk menaikkan nilai hartanah di Kuala Lumpur sedangkan sebelum ini nilai harta tanah di Kuala Lumpur sememangnya telah meningkat tanpa kenaikkan cukai taksiran.

Pendapatan DBKL juga dilihat cukup besar jumlahnya dan tetap meningkat walaupun cukai taksiran berada pada kadar yang sama selama 21 tahun.

Peningkatan jumlah pendapatan sebanyak RM511 juta kepada RM1.69 billion dari tahun 2010 adalah cukup memberangsangkan, ia tanpa kenaikan cukai pintu.

Malah DBKL turut menyatakan dalam buku Bajet 2013 bahawa prestasi hasil ini akan meningkat bagi tahun kewangan 2012.

Tidak cukupkah sumbangan warga kota setakat hari ini?

Justeru, SAMM melihat cadangan DBKL untuk menaikkan cukai taksiran 300% adalah keterlaluan dan hasrat seperti ini harus dilupakan.

Sebaliknya DBKL harus menumpukan usaha penuh bagi mengutip hasil-hasil yang tertunggak seperti tunggakan cukai taksiran, tunggakan sewa perumahan dan sewaan gerai penjaja.

Kenaikan kadar cukai pintu yang tidak seimbang dengan prestasi keselamatan dan perkhidmatan yang ala kadar adalah satu bentuk penganiayaan.

Ternyata, Menteri Wilayah cuba menyembunyikan tindakan khianat mereka atas nama ‘pembangunan’.

Tidak ada satu pun alasan yang boleh mewajarkan tindakan kerajaan untuk menaikkan harga cukai pintu terhadap rakyat di mana-mana wilayah sekalipun.

Bagi SAMM, sebelum bercakap tentang pembangunan, kerajaan perlu terlebih dahulu membangunkan nilai amanah dalam pentadbiran dan pengurusan dana negara yang semakin tiris.
Sekali lagi SAMM Wilayah mencabar kerajaan agar berhenti mengkhianati rakyat!

Perlu diingat, tidak ada kenaikan cukai tanpa pilihan raya kerajaan tempatan. Wang cukai juga dibazirkan tanpa pertanggungjawaban kepada rakyat.

Hentikan kenaikan cukai pintu atau rakyat tidak akan teragak-agak menghumban DBKL keluar dari ‘pintu’ pentadbiran!

No comments: