Oleh : Adil Mat Selamat
Perbezaan pendapat tentang isu hudud, Negara Islam, hutang PTPTN dan termasuk juga isu tentang undang-undang lompat parti didalam gabungan Pakatan Rakyat dilihat oleh elit-elit politik UMNO sebagai ‘kecelaruan’ dasar parit-parti dalam Pakatan Rakyat.
Keadaan ini bukanlah pelik bagi kita kerana, orang-orang yang tidak memahami sudut dan demensi demokrasi akan melihat perbezaan pendapat ini sebagai satu ‘perpecahan’ atau ‘ketidak sefahaman’.
Inilah masalah asas bagi mereka yang duduk dalam satu sistem dari warisan feudal. Dalam sistem feudal, tidak ada istillah ‘soal’ dan ‘rundingan’. Yang berkuasa mencadangkan pilihan, dan mereka jualah yang membuat keputusan. Tidak ada perbincangan, pertukaran pendapat, kritikan, nasihat, analisis dan maklum balas dalam sesuatu hal yang diputuskan dalam sistem feudal.
Pendek kata, tuan tanah boleh berbuat semahunya dan pekerjanya (ahli) hanya perlu menurut dan mengangguk sahaja. Hasil dan kejayaan dari setiap keputusan yang dibuat akan dijadikan sebagai suatu kejayaan bagi tuannya. Tetapi sesuatu kegagalan itu terjadi, maka ahli-ahliny akan dipersalahkan.
Inilah feudalisme. Maka, bagi UMNO yang mewarisi budaya feudal ini, memang mustahillah bagi elit-elit politik mereka untuk menerima perbezaan pendapat sebagai suatu fitrah yang positif dalam dunia yang serba moden tamadunnya.
Pemikiran golongan warisan feudal
Jika kita menelek kenyataan Dato’ Saifuddin Abdullah, Ahli Majlis Tertinggi UMNO berhubung isu cadangan DAP untuk penggubalan undang-undang lompat parti sebagai ‘tidak sehaluan’ dengan parti-parti dalam PR iaitu PKR dan PAS, tidaklah menghairankan.
Kata Saifuddin, “ pemimpin DAP seperti Pengerusinya Karpal Singh dan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu mewujudkan undang-undang berkenaan, sedangkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebaliknya.”
Perbezaan pendapat dalam apa jua isu, baik soal dasar, perlaksanaan dan pendekatan merupakan asas penting dalam memastikan setiap isu dibahas dan dinilai dengan halus sevukup-cukupnya.
Ini pastinya untuk memastikan suara semua pihak mempunyai peranan. Di peringkat ahkir membuat keputusan, pastinya semua pihak akan mudah menerimanya kerana mereka yang terlibat mendapat peranan dalam proses tersebut.
Demokrasi budaya baru
Dalam budaya demokrasi yang sihat, sesiapa jua boleh mencadangkan, sesiapa jua boleh memberi justifikasi dan sesiapa jua boleh membantah, namun pada akhirnya, setiap cadangan perlu melalui proses perbahasan. Inilah yang sedang diamalkan dalam PR dan inilah juga budaya yang tidak ada didalam UMNO.
Demokrasi bukan sekadar ‘undi’ dan nombor (jumlah) tetapi demokrasi juga adalah budaya yang penuh dengan kepelbagaian dan perbezaan, dan yang menjadikan ianya menarik adalah setiap suara boleh didengar dan setiap keluhan akan terjawab. Malah lebih menakjudbkan lagi, apa jua perbezaan pendirian atau keinginan, kita masih boleh duduk bersama, mencari titik persamaan dalam perjuangan dan bergabung membentuk satu arus baru politik Malaysia, inilah yang tidak dapat difahami oleh mereka yang mewarisi mentaliti feudal.
Jika UMNO mahu tahu beza BN dengan PR, maka silalah berlapang dada menerima hakikat bahawa UMNO dan BN sudah ketinggalan zaman dan tidak releven. Jika kenyataan ini mampu diterima, maka pastinya masa depan Malaysia, akan lebih menjanjikan .roketkini.com
No comments:
Post a Comment