Wednesday, August 29, 2012

Mahathir: 'Saya tolak hudud Pas, bukan hudud Islam'

SINAR HARIAN

Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah menolak pelaksanaan hukum hudud sepertimana yang terkandung dalam Islam, sebaliknya menolak hukum hudud yang akan dilaksanakan oleh Pas.

"Saya tolak hudud Pas, saya tidak pernah kata saya tolak hudud Islam. Kita kena bezakan antara dua ini... lain langsung," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
 
Beliau berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh parti pembangkang itu mirip kepada hukuman yang lebih berat dan tiada di dalam al-Quran.
 
"Saya tidak boleh sokong itu, tidak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, dia tidak Islam. Islam menuntut apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Ini tidak adil, orang Islam potong tangan tapi orang bukan Islam kena penjara dua bulan," katanya.
 
Sementara itu, mengenai pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada November ini, Mahathir berkata Barisan Nasional (BN) sudah cukup bersedia untuk menghadapinya.
 
"Jika ditetapkan November, kami akan adakan pada November. Saya fikir BN sudah cukup bersedia, kita selesaikan semuanya dan tumpukanlah perhatian untuk memajukan negara ini," katanya. - Bernama

No comments: