Thursday, August 30, 2012

Tak bermuka-muka dengan pendirian antidemokratik

 
Nurul Izzah Anwar


 
ULASAN Saya merujuk kepada perkembangan terkini berkenaan perlaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Malaya yang telah mengemaskini peraturan tatalaku para mahasiswa berkenaan penglibatan dalam arena politik.

Saya memuji langkah pihak universiti yang telah maju ke hadapan dalam melaksanakan perubahan berdasarkan undang-undang walaupun ia lapuk dan mencacatkan proses transformasi yang diuar-uarkan selama ini.

NONESekurang-kurangnya Universiti Malaya tidak bermuka-muka dalam menegaskan pendirian antidemokratiknya dalam penguatkuasaan AUKU.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) mengandungi sekatan yang merugikan dan menafikan para Mahasiswa sebuah pendidikan yang lebih holistik.

AUKU telah mematikan nadi yang memperkasakan para mahasiswa sebagai sebuah entiti berintelek tinggi yang mempunyai hak demokrasi dan budaya pembelajaran yang perlu dihormati oleh setiap individu, selaras dengan hak-hak yang digariskan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Sedang pihak universiti mempraktikkan perlaksanaan undang-undang yang lapuk ini, harus dipersoalkan, adakah kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih efektif memandangkan keputusan oleh sayap Pemudanya untuk mengambil langkah mendekati para mahasiswa di IPTA walaupun tidak mendapat sebarang restu dari Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi?

Kaukus penggantian AUKU

Saya ingin menegur pengamalan dwistandard dalam perlaksanaan undang-undang yang lapuk ini kerana ternyata sayap Pemuda Umno menyetujui langkah proaktif PKR yang telah menubuhkan Mahasiswa Keadilan dengan lebih awal.

Initiatif sayap Pemuda Umno untuk mendekati para mahasiswa bagi mendapatkan sokongan politik adalah bukti sokongan mereka terhadap memperkasakan para mahasiswa dari cengkaman AUKU.

NONEJusteru, sebagai langkah susulan, saya menjemput Mohamed Khaled (kiri) dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk bersama-sama mengambil langkah proaktif dalam kewujudan kaukus penggantian AUKU dalam sidang Parlimen seterusnya untuk menangani isu ini.

Jelas terdapat persefahaman bahawa para mahasiswa harus bebas dalam perjuangan mereka dalam meningkatkan kesedaran sosial dan perlunya mereka mengambil bahagian dalam pembangunan negara dengan lebih aktif berbanding dengan peranan pasif yang dikelolakan oleh Umno-BN melalui cengkaman AUKU.

PKR tetap dengan pendiriannya bahawa tata kelakuan yang baru dikemaskini berdasarkan AUKU adalah tidak relevan dan menyekat semangat kebebasan akademik.

PKR akan meneruskan perjuangan dengan memasuki kampus kerana tanggungjawab pemupukan minda yang terbuka, berdikari, dan mempunyai kesedaran sosial adalah penting dalam melahirkan mahasiswa yang akan menyelamatkan negara kita dari apa kemelut sekalipun.

NURUL IZZAH ANWAR ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap naib presiden PKR.

No comments: