SHAH ALAM : Umno-BN semakin terdesak untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga sanggup menggunakan taktik keji mengugut dan menghasut persengketaan agama dan etnik.
Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenytaan medianya menyebut usaha tersebut jelas dilakukan media kawalan Umno-BN secara berterusan dengan memainkan isu hudud dan negara Islam.
“Tidak kira bagaimana isu diputar media Umno, Pakatan Rakyat (PR) kekal komited kepada prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan disamping menjamin kebebasan agama-agama lain.
“Dasar PR dan Buku Jingga juga kekal sebagai kenyataan yang jelas tentang dasar dan prinsip-prinsip tadbir urus kami dalam menuntut perubahan meningkatkan daya saing, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan memeriksa peningkatan kos hidup yang membebankan rakyat,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Malaysia menambah, PKR juga menghormati pandangan yang berbeza dan kedudukan parti-parti komponen dalam PR dalam hal syariah, hudud, dan negara Islam.
“Dalam hal ini, PR akan terus dipandu oleh prinsip-prinsip keadilan sejagat, urus tadbir yang baik, akauntabiliti, ketelusan dan daya saing untuk mencapai kebaikan untuk rakyat.
“Saya percaya bahawa maqasid al syariah (objektif lebih tinggi Syariah) adalah prinsip penting urus tadbir dan tidak berlawanan dengan ajaran demokrasi,” ujarnya lagi.
Jesteru, beliau menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan politik terdesak dan ugutan Umno-BN.
“Letakkan kepercayaan kita dalam kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai keadaan ini dan membuat pilihan bebas mereka,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment