Salmiyah Harun, |
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) disifatkan sudah hilang pertimbangan apabila bertindak membuat kenyataan berbaur hasutan.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, Perkasa secara terang-terangan membuat tuduhan berbaur hasutan dengan mengatakan Pakatan Rakyat akan mencetuskan huru-hara jika kalah PRU-13.
"Kenapa tidak kata Perkasa juga adalah penghasut, sedangkan secara jelas kenyataan itu ada unsur-unsur hasutan," katanya.
Hakikatnya, tegas Athirah, Perkasa sebenarnya takut jika BN yang akan kalah dalam PRU nanti kemudian timbul huru-hara.
Buktinya, tambah Athirah akibat kekalahan BN dalam PRU 2008 lalu, mereka bertindak mengarak kepala lembu untuk mencetuskan sentimen perkauman.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perkasa mengatakan Pakatan Rakyat akan menggunakan taktik reformasi untuk mencetuskan huru-hara sekiranya keputusan PRU-13 memihak kepada BN.
Bahkan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menuduh Pakatan Rakyat akan menjadikan rusuhan sebagai jalan terakhir untuk menjatuhkan kerajaan kerana kecenderungan Pakatan Rakyat yang tidak berhenti mempertikaikan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Athirah menolak dakwaan itu sebaliknya menggesa Perkasa untuk menjurus kepada posisi dan perjuangan Bersih 3.0 yang ternyata menunjukkan kasih sayang kepada rakyat dan negara daripada kasih sayang kepada Umno BN.
"Ini tuduhan merapu tidak berasaskan kepada kajian dan bukti yang kukuh. Perkasa perlu ingat ramai yang tidak faham insiden penyingkiran Anwar Ibrahim sewaktu reformasi lalu.
"Kali ini rakyat bangkit bukan mahu lawan dengan anggota keselamatan sama ada polis atau tentera sebaliknya tidak puas hati dengan dasar kerajaan Umno BN," katanya kepada Harakahdaily.
Jelas Athirah, Perkasa kena faham rakyat sudah tidak percaya kepada SPR bahkan banyak bukti ketidaktelusan SPR yang didedahkan oleh bekas-bekas tentera dan polis sebelum ini.
"Malah pengerusi SPR sendiri tidak dapat dipercayai oleh rakyat, kalau mereka ahli Umno tukarlah pengerusi dan timbalannya.
"Isu huru-hara tidak berbangkit kalau kerajaan dan Perkasa sudi menangani masalah itu!," tegasya.
Justeru katanya, Pakatan Rakyat sayangkan keamanan buktinya walaupun sudah 12 kali PRU diadakan tetapi pembangkang masih kalah untuk mentadbir kerajaan pusat, namun tidak ada huru-hara yang berlaku.
"Persoalan sekarang bukan Pakatan Rakyat mahu cetuskan huru-hara atau takut kalah. Apa yang dilihat tidak ada kepimpinan politik dan keberanian Umno BN untuk pastikan PRU adil dan bersih.
No comments:
Post a Comment