Saturday, June 30, 2012

PRU13: SPR temu parti politik bulan depan

G MANIMARAN

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pertemuan dengan semua parti politik di peringkat nasional dan negeri bulan depan sebagai persiapan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan berlangsung selepas Aidilfitri.

"Salah satu pihak yang kami akan bertemu dan mengadakan penerangan ialah parti-parti politik, ini akan dilakukan pada bulan depan," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Langkah itu diambil susulan selesainya sesi taklimat dan latihan kepada kesemua pengurus pilihan raya.

Sarawak adalah negeri terakhir terlibat dalam sesi taklimat dan latihan. Sesi peringkat Sarawak diadakan sejak kelmarin mengikut zon dan akan berakhir esok.

Wan Ahmad berkata, taklimat perlu diberikan kepada parti-parti politik memandangkan pihak itu merupakan salah satu komponen penting dalam sistem pilihan raya.

Selain itu katanya, banyak perkara baru akan diperkenalkan pada kali ini, termasuk penggunaan dakwat kekal.

“Oleh itu, wajar diadakan taklimat bagi mereka, di peringkat ibu pejabat dan juga di peringkat negeri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata beliau, sesi taklimat dan latihan yang merupakan segmen penting dalam urusan persediaan menghadapi PRU13 sudah selesai.

"Kalau pilihan raya lambat, kalau Parlimen tidak dibubarkan dalam waktu terdekat, kita akan buat taklimat baru," katanya.

Selain itu menurut Wan Ahmad, ibu pejabat SPR juga akan menghantar peralatan dan kelengkapan pilihan raya ke pejabat-pejabat pilihan raya negeri mulai bulan depan.

No comments: