Thursday, June 28, 2012

Geran Selangorku: Dakwaan BN tidak masuk akal

NURULFATIHA MUAH

Geran Selangorku: Dakwaan BN tidak masuk akal
Laporan Sinar Harian semalam.
 
 
SHAH ALAM - Dakwaan sumber kewangan Geran Selangorku berjumlah RM300 juta adalah dana khas Pakatan Rakyat (PR) untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, dakwaan dicipta Barisan Nasional (BN) itu dilihat bertujuan melaga-lagakan kepimpinan PR negeri ini yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, BN tidak akan berjaya kerana kepimpinan mereka mengamalkan sikap saling tegur-menegur antara satu sama lain jika ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Kita boleh suarakan secara terbuka dan perkara ini jugalah yang berlaku dalam Geran Selangorku. Kita pernah tanya secara terbuka mengenai geran ini dan dimaklumkan ia adalah duit kutipan hutang Talam Corporation yang tidak berjaya dikutip BN semasa mereka memerintah.

“Kita bukan seperti BN yang hanya mengiakan saja apa yang diperkatakan pemimpin mereka bulat-bulat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dibuat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang mempertikaikan sumber kewangan Geran Selangorku.

Shuhaimi berkata, kira-kira satu per enam daripada peruntukan geran itu digunakan untuk membaiki infrastruktur, tetapi dituduh kononnya untuk kepentingan politik PR.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, jika PR dituduh menggunakan Geran Selangorku untuk tujuan politik, Bantuan Rakyat 1Malaysia juga dianggap kepentingan BN untuk meraih sokongan.

“Dakwaan itu tidak benar, itu (sumber kewangan geran) memang kutipan hutang.

Berdasarkan pengalaman lalu, Pas dapatkan dana pilihan raya daripada kutipan dan sumbangan ahli parti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, tuduhan itu menunjukkan BN yang cuba merampas Selangor dari PR tidak membuat ‘homework’ perkembangan negeri ini dengan baik.

“Sudah jelas, memang Geran Selangorku itu sumbernya daripada hutang Talam (Corporation). PR tidak pernah ambil satu sen pun wang daripada Kerajaan Negeri walaupun Selangor diperintah PR,” katanya.

Kelmarin, Mohd Zin mempertikaikan sumber kewangan Geran Selangorku kerana mendakwa Abdul Khalid masih lagi berdolak-dalik menyatakan sumber sebenar dana itu.

No comments: