Ketua Pemuda Pas Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, ia bermula dengan moto Pas Ganti Umno (PGU) yang diikuti beberapa program, antaranya Jelajah PGU 1.0 di Kemaman, PGU 2.0 di Jertih dan PGU 3.0 di Kuala Terengganu.
Menurutnya, kelangsungan itu diteruskan dengan sambutan Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Kedah dan terbaru Ekspresi Hijau Anak Muda Ke Putrajaya anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat yang diadakan di Terengganu.
“Kali ini kita akan adakan di peringkat negeri Terengganu bagi mengumpul seluruh petugas dan ahli Pemuda bagi menggerakkan kerja Pemuda dan menggerakkan ‘mood’ rakyat dan generasi ‘Y’ agar mereka dapat membuat perubahan.
“Kita akan gunakan satu moto iaitu 'Pakat Pangkoh Pas, Boh'. Kita ajak anak-anak muda kali ini ubahlah Umno-BN yang telah lama memerintah lebih daripada 50 tahun,” katanya ketika berucap sempena program makan malam meraikan peserta Himpunan Bersih 3.0, di sini.
Hadir sama, Naib Ketuanya, Kamaruzzaman Abdullah dan Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah.
Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong turut yakin golongan muda akan terus bersama pembangkang sebagaimana kehadiran yang memberangsangkan dalam program-program terdahulu.
“Kita tengok Himpunan Hijau ke Putrajaya yang diadakan di Kedah itu 80 peratus adalah anak-anak muda. Begitu juga dengan Himpunan Aman Bersih 3.0 'Duduk dan Bantah' adalah terdiri di kalangan anak-anak muda.
“Saya yakin Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Terengganu juga akan mendapat sokongan anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menganggap pilihan raya sudah hampir dan mengharapkan menonjolkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memimpin Malaysia Baru.
No comments:
Post a Comment