Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR Tindakan terdesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekalkan kuasa regim Umno BN dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) dengan menghalang Pakatan Rakyat (PR) menggunakan logo sendiri membuktikan agensi itu berniat jahat, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
“Ini membuktikan SPR yang sememangnya milik Umno dan tindakan itu sememangnya berniat jahat.
“Apa lagi saya boleh katakan kalau ini sebenarnya kerja tahap gila SPR mahu jaga ‘majikan’ mereka,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau mengulas pengumuman mengejut oleh SPR bahawa PR tidak dibenarkan untuk menggunakan logo sendiri dalam PRU 13 kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan pendaftaran gabungan tersebut.
Ekoran itu kata Tian, sekali lagi SPR membuktikan bahawa pihaknya tidak berminat membersihkan undi, sebaliknya tidak habis-habis mencari jalan mahu ‘melenyapkan’ PR.
“Mereka tiada niat untuk membersihkan daftar pemilih dan segala masalah lain bersangkutan, tetapi jelas apa yang dilakukan mereka bertentangan dengan tanggungjawab SPR itu sendiri.
“Kerja SPR sekarang hanya mencari jalan dan berusaha untuk memenangkan BN,” ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar berkata, bendera parti-parti komponen PR tidak boleh diletakkan di kawasan di mana mereka tidak bertanding, atau ia akan diturunkan.
Jelas Tian yang juga Ahli Parlimen Batu, undang-undang pilihan raya hanya membenarkan parti-parti yang bertanding memaparkan logo mereka yang berdaftar di dalam kawasan pilihan raya yang ditandingi.
“Setahu saya, kalau musim PRU, tiada lagi had sempadan untuk meletakkan bendera, contohnya saya di Parlimen Batu, ada bendera KEADILAN.
“Tapi bagaimana kawasan sempadan iaitu Parlimen Titiwangsa, mereka mahu naikkan bendera PAS, begitu juga dengan penyokong mahukan bendera PAS dan KEADILAN,” kata Tian lagi.
No comments:
Post a Comment