Saturday, February 4, 2012

Permohonan tanah 5 tahun dilulus secara automatik

MALAYSIA KINI

Mulai tahun ini kerajaan negeri Pahang bersetuju meluluskan permohonan hak milik tapak rumah oleh penduduk negeri itu dalam tempoh lima tahun lepas secara automatik.

bukit komon gold mine 020306 adnan pcMenteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) bagaimanapun, berkata ia hanya akan diluluskan jika tanah yang dimohon tidak bertindih dengan permohonan kawasan rizab seperti hutan simpan, rizab kereta api atau sungai.

"Kerajaan negeri menerima terlalu banyak permohonan tanah daripada rakyat dan terpaksa menelitinya sebelum diluluskan.

"Bagaimanapun menerusi usaha ini juga kita harap lebih ramai rakyat di negeri ini dapat memiliki tanah dan tapak rumah sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lebih 800 penduduk di Dewan Undangan Negeri Pelangai di Bentong semalam.

Turut hadir, Menteri Kesihatan dan Anggota Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Adnan berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengurangkan bayaran premium tanah kepada 50 sen sekaki padu berbanding sekitar RM40,000 seekar sebelum ini.

"Kerajaan negeri turut bersetuju menghapuskan bayaran premium bagi pemilik tapak rumah yang dinaikkan dari 60 tahun kepada 99 tahun mulai tahun ini," katanya.

Sebelum ini katanya pemilik dikenakan bayaran premium yang agak tinggi namun kini ia dilupuskan dan diberikan secara percuma.

Dalam pada itu beliau juga menasihatkan kepada penduduk negeri itu yang mendapat tanah atau tapak rumah agar tidak menjual tanah tersebut kepada pihak lain.

Ini kerana katanya ia bercanggah dengan matlamat utama kerajaan meluluskan permohonan berkenaan iaitu sebagai jaminan untuk masa depan mereka.- Bernama

No comments: