Tuesday, February 28, 2012

Ku Li: Hubungan bangsa makin runcing

Tengku Razaleigh Hamzah


KL TODAY


Saya amat berbesar hati kerana telah dijemput untuk berucap dihadapan hadirin semua pada pagi ini untuk membicarakan sesuatu perkara yang amat penting bagi pemeliharaan dan kesinambungan bangsa kita.Sepertimana yang anda ketahui, negara kita telah bebas daripada cengkaman penjajah kira-kira lima setengah dekad yang lalu.Sedihnya, adalah menjadi sesuatu yang agak aneh kerana setelah 55 tahun merdeka, hubungan antara kaum kita lebih renggang berbanding dahulu.

Pada 31 Ogos 1957, kebebasan kita telah disambut dengan kegirangan oleh segenap kaum yang bersama-sama berkongsi visi yang sama untuk masa hadapan yang baru.

Pada masa itu, kita mempunyai seorang perdana menteri yang percaya kemerdekaan adalah satu-satunya kebahagian yang dicari oleh setiap kaum di negara ini, dan kejayaan kita dalam pencarian itu adalah baginya ujian utama yang telah dapat kita lalui.

“Prinsip kebahagian yang sebenar,” “apa yang diberi kepada seseorang, beri pada semua”

Visi Tunku untuk negara yang baru mengecapi kemerdekaan adalah berdasarkan “ prinsip kebahagian yang sebenar”, sebuah subjek politik yang sering diperdebatkan pada kurun ke lapan belas dan sembilan belas di Eropah.

Seperti ahli falsafah politik baru di dunia barat, bapa kemerdekaan kita juga percaya kerajaan wujud untuk memberi kebahagiaan kepada rakyat dan tidak lebih daripada itu.

Bagi kita yang berada dalam Barisan, kita tidak mempunyai kepercayaan lain selain memastikan kebahagiaan pada rakyat,” kata Tunku pada suatu masa dahulu.

Tunku tahu bahawa kebahagian individu bergantung kepada kebahgiaan bersama, dan kadang- kala, kita perlu mengorbankan keselesaan diri supaya orang dari komuniti lain tidak ketinggalan dalam merasai kebahagiaan itu.

Seperti Jeremy Bentham, ahli falsafah Inggeris, Tunku suka pada polisi yang akan membawa kebahagiaan yang boleh dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia.

Katanya, “apa yang saya beri kepada seorang, saya akan beri pada yang lain. Dengan cara ini, kita akan membuat semua orang gembira. Inilah matlamat utama saya.”

Malah, mengikut Tunku, “itulah perjuangan saya, untuk memastikan keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran bagi Malaya yang kita semua amat cintai.”

Polisi Tunku berteraskan prinsip utama iaitu kita mesti menghormati antara satu sama lain dan melayan orang lain seperti mana kita mahu orang lain melayan kita.

Prisip ini amat penting didalam masyarakat pelbagai kaum yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Konsep kebahagiaan Tunku yang paling asas boleh diterjemah dalam kata pepatah yang menjadi kegemarannya, “ live and let live”.

Ia adalah kata pepatah yang menyeru kita untuk menerima orang lain seadanya, walaupun mereka berbeza dari segi cara hidup. Tunku menggunakan kata pepatah ini bagi seluruh rakyat secara amnya.

Dihancurkan oleh tragedi 13 Mei 1969

Tunku merupakan bapa kepada bangsa seperti yang di katakannya sendiri, “…Saya adalah seorang perdana menteri yang bahagia dan saya patut berasa begitu . Saya boleh merasakan nadi bangsa ini; saya bukanlah perdana menteri bagi bangsa ini, tetapi bapa kepada warganegara yang tinggal di negara ini.

Jika Tunku mencanangkan kepada dunia bahawa dia merupakan perdana menteri yang paling gembira sekali, ia adalah kerana rakyatnya juga gembira, seperti kata Tunku pada masa itu, “Saya berdoa agar keadaan yang bahagia ini berpanjangan sampai bili-bila.”

Malangnya, impian Tunku hancur berkecai akibat rusuhan pada 13 Mei 1969.

Perdana menteri yang dahulunya gembira telah menyatakan keperitan yang dirasainya semasa mengenang peristiwa itu dengan berkata:

Saya selalu bertanya kenapa Tuhan memanjangkan usia saya hanya untuk menyaksikan kedua-dua bangsa yang saya kasihi, Melayu dan Cina membunuh satu sama lain.

Begitulah lelaki yang bernama Tunku. Dia merupakan semangat yang menggerakkan bangsa.

Tunku sudah lama pergi, dan hari ini, pemerintahannya sudah berada jauh dalam memori kita. Sejak beliau meninggalkan kita, hubungan antara kaum semakin buruk .

Hari ini, sudah ada rejim yang mempromosikan konsep 1 Malaysia tetapi penuh dengan kontradiksi.

Kita ada dokumen rasmi yang menerangkan konsep 1 Malaysia sebagai sebuah negara dimana setiap warganegaranya mengidentitikan dirinya sebagai orang Malaysia dahulu dan kemudian dari segi kaum.

Namun, terdapat pula seorang pemimpin yang bercanggah dengan polisi rasmi itu dengan mengumumkan dirinya sebagai “Melayu dahulu”, dan “orang Malaysia kemudian”.

Kenyataan ini bukan sahaja menjadi tamparan hebat kepada konsep 1 Malaysia, ia juga menjadi pematah semangat Jiwa Malaysia yang telah susah payah diterapkan oleh Tunku.

Tidak hairanlah jika rakyat sudah tidak kenal pada jiwa ini, mereka tidak merasakan bahawa diri mereka adalah orang Malaysia sepenuhnya.

Bangsa yang asing

Anehnya, selepas 55 tahun merdeka, kita masih belum tahu bagaimana untuk hidup bersama seperti saudara.

Sumber kekuatan negara adalah perpaduan, dan sumber ini memberi kekuatan yang semkain pupus.

Kita sudah menjadi bangsa yang sudah asing antara satu sama lain. Buktinya, dalam arena politik, ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam.

Kehadiran politik perkauman yang kuat adalah akibat daripada keadaan perhubungan antara kaum yang menyedihkan. Parti-parti politik juga memberi sokongan kepada polisi perkauman dan menerima sahaja sentimen perkauman yang dibawa oleh kaum yang mereka wakili.

Dalam pentadbiran harian negara, mereka yang memerintah kurang memberi perhatian kepada peruntukan perlembagaan yang terkandung dalam Perkara 8 (1) yang menyatakan bahawa “setiap orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak kepada perlindungan yang samaundang-undang “; dan Perkara 8 (2) yang menyatakan bahawa” tidak boleh ada diskriminasi terhadap rakyat atas alasan hanya agama, bangsa, keturunan atau tempat lahir dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berkenaan dengan menubuh atau menjalankan apa-apa perdagangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”

Satu bahagian yang lemah dalam hubungan antara kaum adalah Dasar Ekonomi Baru, yang asalnya adalah untuk mewujudkan perpaduan akhirnya menjadi menjadi punca utama perpecahan bukan sahaja di antara kaum, tetapi juga di kalangan orang Melayu dan Bumiputera sendiri secara umum.

Dasar Ekonomi Baru, yang diilhamkan pada tahun 1971 tidak lama selepas Tunku bersara sebagai perdana menteri dicipta untuk menangani kemiskinan, dan untuk meningkatkan penyertaan orang Melayu dalam ekonomi.

DEB sebenarnya untuk semua rakyat Malaysia

Ia sebenarnya diadakan untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk Melayu atau Bumiputra sahaja.

Sebagai bekas menteri kewangan, biar saya jelaskan bahawa bukan niat DEB untuk melahirkan golongan Melayu kapitalis semata-mata.

Jika kita melawat jabatan-jabatan kerajaan atau universiti, kita tertanya-tanya, dimanakah perginya orang bukan Melayu?

Selepas 1969, dengan tiba-tiba ada percubaan untuk hanya mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam dengan orang Melayu sahaja.

Ia sememangnya tragis kerana perkhidmatan awam tidak mencerminkan komposisi kaum penduduk Malaysia, kerana kehadiran satu bangsa yang dominan sahaja cenderung untuk melahirkan budaya yang bercanggah dengan evolusi pentadbiran awam yang dinamik dan cekap di negara ini.

Sistem pendidikan kita juga tidak seperti dahulu. Orang bukan Melayu lebih cenderung untuk menghantar anak mereka di sekolah jenis kebangsaan kerana sekolah kebangsaan hanya mencerminkan karekteristik Melayu.

Sudah tentu, sekolah kebangsaan telah menjadi semakin kurang menarik kepada bukan Melayu kerana Bahasa Inggeris tidak lagi digunakan dalam pengajaran matematik dan sains.

Keadaan akan menjadi berbeza jika semua amalan diskriminasi dalam sistem pendidikan dihapuskan, dan sistem yang boleh diterima semua dalam pendidikan diguna pakai.

Perpaduan negara adalah sesuatu yang kita tidak boleh abaikan. Asal-usul sebenar perpaduan nasional adalah dari sumber yang tidak mungkin: Parlimen, secara keseluruhannya.

Parlimen mempunyai kuasa untuk memutuskan dalam menentukan hala tuju negara ini.

Kita mesti mempunyai kerajaan yang kuat dan nekad dan mengiktiraf keperluan semua rakyat Malaysia, juga merumus dan menyebarkan dasar yang betul kepada masyarakat supaya mereka bersatu padu.

Jika Parlimen meluluskan dasar yang adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia yang berdasarkan meritokrasi dan keperluan, lebih separuh daripada matlamat perpaduan nasional akan tercapai.

Dalam hal ini, rakyat sebagai pengundi mesti sedar bahawa mereka sahajalah memegang kunci kepada masa hadapan negara ini.

- Teks ucapan Tengku Razaleigh Hamzah pada Mesyuarat Sarapan Pagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Paddy Schubert Sdn Bhd pada 24 Februari, 2012.

No comments: