Harakahdaily, | |
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS dan Mufti Perlis sepakat mencadangkan agar kerajaan menggantung permit akhbar The Star ekoran tindakan biadabnya menghina Islam.
(Sebahagian gambar yang disiarkan The Star baru-baru ini)
Dalam kenyataan berasingan mereka, kedua-duanya mendesak kerajaan bertindak segera kerana tiada alasan akhbar itu terlepas pandang.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) patut mengambil tindakan paling tegas itu ekoran penyiaran gambar itu dianggap menghina Islam dan tiada alasan untuk harian berbahasa Inggeris itu terlepas pandang.
"Permohonan maaf hari ini dengan kolum 'seciput' saiznya adalah amat tidak memadai. KDN perlu gantung The Star sementara waktu siasatan dilengkapkan," katanya.
Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam kenyataannya berkata, biarpun The Star telah memohon maaf, namun ini entah keberapa kali The Star membuat kesilapan yang hampir serupa.
"Pastinya memohon maaf sahaja tidak mampu menyembuh luka ummat Islam akibat penghinaan serupa yang berulang kali," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, akhbar berkenaan menyiarkan juadah daging babi untuk dihidangkan di bulan puasa.
Ekoran itu, akhbar berkenaan memohon maaf selepas dibantah umat Islam.
Baru-baru ini, akhbar berkenaan menyiarkan gambar besar Erykah Badu dengan tatoo nama Allah pada dadanya.
Harakahdaily telah menyiarkan bantahan pembaca terhadap penyiaran gambar yang biadab ini.
Ekoran itu, The Star menyiarkan permohonan maaf.
Selain The Star, turut menghina Islam sejak akhir-akhir ini adalah Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagaimana yang digambarkan dalam debatnya dengan Lim Guan Eng.
The Star adalah akhbar yang dimiliki oleh MCA.
Bagi Nasrudin, Erykah Badu, seorang artis African American begitu biadab dan keterlaluan apabila melukis tatoo kalimah Allah swt di dada kiri dan kanannya selain tatoo segitiga pyramid bahagian tengah dadanya pula.
Malangnya, beliau diundang untuk membuat persembahan di dalam negara kita.
Pula diberi ruang promosi yang hebat dalam The Star tanpa rasa bersalah dan menghormati sensitiviti ummat Islam.
"Saya menegaskan bahawa kerajaan mesti bertindak tegas terhadap penghinaan kepada agama seperti ini.
"Sekurang - kurang permit The Star mestilah digantung selama sebulan. Pihak penganjur juga mestilah diambil tindakan tegas kerana mengundang artis seperti itu," kata beliau.
Isu di sini, katanya, bukan konsert atau karyanya, tetapi penampilannya yang mengguris dan melukakan perasaan ummat Islam.
No comments:
Post a Comment