SUBANG JAYA — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campurtangan berhubung isu berhubung kesatuan sekerja dan pindaan Akta Kerja 1955 berikutan menteri yang bertanggungjawab dilihat gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam menyelesaikan perkara itu.
Kesatuan itu turut mengumumkan mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam kerana menteri itu dilihat tidak serius terhadap permasalahan yang melibatkan nasib pekerja-pekerja di negara ini.
Presiden MTUC Khalid Atan (gambar) ketika sidang media di Ibu Pejabat kesatuan itu di sini berkata, Subramaniam seolah-olah menganggap masalah yang dialami pekerja hanya perkara remeh dan tidak serius dalam mencari penyelesaian terhadap konflik yang timbul terhadap nasib pekerja.
“MTUC mengumumkan kami hilang keyakinan terhadap kepimpinan menteri yang tidak serius menangani masalah pekerja.
“Oleh itu MTUC telah bersepakat untuk menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menganjurkan perhimpunan sebagai bantahan terhadap menteri,” katanya.
Menurut Khalid, sekiranya nasib pekerja di negara ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya, lama kelamaan kesatuan sekerja akan pupus.
“Kita sudah buat protes dan sebagainya, tetapi kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan rungutan kesatuan. Malah, kami telah berulangkali menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.
MTUC sebelum ini telah membuat bantahan terhadap pindaan Akta Kerja 1955 yang melibatkan “Contractor for Labour”, iaitu sistem yang akan memutuskan hubungan antara majikan dan pekerja dan menggunakan khidmat orang tengah yang mana pekerja akan hilang jaminan pekerjaan dan sistem ini menjurus kepada eksploitasi pekerja.
“MTUC mahu perdana menteri mendengar rintihan kesatuan, jangan kaum pekerja dipinggirkan begitu sahaja, seolah-olah mereka tidak wujud, kalau pihak lain boleh didengar, boleh dilayan, kenapa perkara ini dilakukan kepada MTUC?” soalnya.
Tambah Khalid, Subramaniam juga gagal mengambil tindakan sewajarnya di atas perlakuan Maybank yang dilihat bercanggah dengan undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan dengan menaja penubuhan kesatuan dalaman yang bercanggah dengan Artikel 6 perjanjian bersama yang terikat antara Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) dan Maybank.
Sementara itu, Khalid turut mendesak Najib mewujudkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku dalam Maybank.
“Menteri gagal bertindak selaras dengan kuasa beliau mengikut kehendak Seksyen 71 Akta Kesatuan Sekerja 1959 untuk membatalkan pendaftaran kesatuan dalaman yang ditaja Maybank yang bercanggah dengan perjanjian bersama tersebut.
“Malah beliau turut mendaftarkan kesatuan dalaman di Maybank, sedangkan Nube telah diiktiraf sebagai kesatuan yang mewakili pekerja bukan eksekutif sejak lebih 50 tahun lalu,” katanya.
Sehubungan itu, sebagai tanda protes, MTUC hari ini turut mengeluarkan wang simpanan mereka di Maybank yang berjumlah RM3.5 juta dan menutup akaun kesatuan itu serta merta.
“Kami sudah menyimpan di Maybank sejak 15 tahun lalu. Sebagai tanda protes, kami akan menutup akaun berkenaan hari ini dengan serta merta,” katanya lagi.
Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalaman Syarikat GLC, Mohamed Shafie Bp Mammal, yang sekali lagi memberi ingatan kepada kerajaan bahawa gabungan kesatuan sekerja di negara ini mempunyai lebih dari sejuta ahli dan kerajaan tidak boleh menidakkan suara mereka dalam perkara ini.
“Perdana menteri jangan bertindak seperti menteri sumber manusia, langsung tidak mengendahkan suara pekerja. Kami mempunyai gabungan ahli lebih dari satu juta seluruh negara,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment