Saturday, February 4, 2012

Orang Asal: Polis hina kami

Shafie Dris berkata sekatan manusia itu sebenarnya adalah jalan terakhir bagi mereka melindungi hak daripada terus diceroboh.



KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mendakwa polis menggunakan kekerasan menghalang masyarakatnya membentuk sekatan manusia bagi melindungi kawasan mereka semasa insiden 28 Januari lalu di Kampung Parit, Gua Musang di Kelantan.

Wakil JKOASM Shafie Dris berkata polis telah menghalang dan membakar struktur bersebelahan yang dibina oleh penduduk Orang Asli suku kaum Temiar yang mahu mempertahankan hak menuntut kembali tanah adat yang dirampas oleh lori-lori balak yang keluar masuk dari wilayah tanah adat mereka.

Dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu, Shafie berkata sekatan manusia itu sebenarnya adalah jalan terakhir bagi mereka melindungi hak daripada terus diceroboh dan dimusnahi pembalak, ladang rakyat dam perlombongan emas.

“Kami terpaksa kerana usaha selama ini seperti menghantar memorandum kepada Menteri Besar Kelantan pada 13 Februari lalu, berhimpun di Pejabat Daerah Jajahan Gua Musang pada 3 April lalu dan berulang kali menghantar surat aduan tentang pencerobohan tanah adat tidak diendahkan dan tidak dilayan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika penjelasan memorandum kepada pegawai Suhakam.

Beliau turut kecewa dengan perbuatan dan kata-kata pegawai polis semasa kejadian dan di balai apabila menuduh tindakan mereka itu
dihasut oleh pihak luar, serta menggunakan psikologi menakutkan Orang Asli supaya tidak menuntut hak mereka.

Malah katanya selain menahan 13 Orang Asli, polis turut menghalang ahli keluarga daripada mengiringi tahanan ke balai polis serta dinafikan hak mendapatkan peguam sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.

“Kami menuntut polis, kerajaan negeri dan kerajaan Malaysia amnya memohon maaf secara terbuka kerana menghina masyarakat Orang Asli seolah-olah bangsa kami tidak bermaruah, tidak berfikiran dan kurang mampu membuat keputusan terhadap diri sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu, pihaknya mahu kerajaan Kelantan membayar pampasan yang sewajarnya atas segala kerosakan dan kerugian yang Orang Asli hadapi serta menarik balik lesen kontraktor yang mengerjakan tanah adat mereka.

“Kami juga mahu semua rizab lain yang bertindih dengan tanah wilayah adat Orang Asli termasuk Rezab Melayu dan Hutan Simpan Kekal dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam Shaani Abdullah berkata pemaju dan kerajaan negeri perlu menghormati keputusan mahkamah dan Deklarasi Hak Asasi Bagi Hak Orang Asal Sedunia (UNDRIP) yang telah mengiktiraf hak tanah kepada Orang Asal.

No comments: